
Peguam Azlan Abdul Roni berkata seorang timbalan pendakwa raya memberitahunya bahawa notis rayuan itu difailkan minggu lalu.
“Anak guam saya belum dimaklumkan mengenai rayuan itu,” katanya.
Azlan yang mewakili Irwan Noordin, berkata Majistret Iskandar Zainol perlu menyediakan penghakiman bertulis berhubung pembebasan 17 tertuduh itu tanpa mereka dipanggil membela diri.
Iskandar pada 27 Jun lalu membebaskan semua tertuduh tanpa memanggil mereka membela diri selepas memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan unsur-unsur tuduhan.
Katanya, tiada pengenalpastian positif tertuduh termasuk melalui pengecaman di kandang tertuduh.
“Tiada senjata dikemukakan di mahkamah sebagai bahan ekshibit seperti pisau seperti dinyatakan dalam kertas tuduhan,” katanya.
Mereka yang didakwa terdiri daripada Saifullah Abdullah, Riduan Sekh Ruslan, Irwan Noordin, Khairi Abdul Rashid, Rozaihan Zakaria, Qayyum Faisal, Ashraf Faizal, Absal Eastrie Abdullah, Jalil Talib, Khairol Anuar Zabidi, Zamri Said, Shukri Razali, Nor Azmi Abdul Ghani, Shahril Danniel Sajeel, Hasneezam Shah Samsudin, Akmal Izzat Azi dan Norul Ismawi Islahuddin.
Mereka yang berusia antara 17 hingga 47 tahun, didakwa mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan memiliki senjata berbahaya antara 2 pagi dan 5 pagi pada 26 Nov 2018.
Jika sabit kesalahan, mereka masing-masing akan dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali.
Perbicaraan yang bermula pada 2019 itu menyaksikan 20 saksi memberikan keterangan untuk pendakwaan di hadapan tiga majistret, manakala empat timbalan pendakwa raya menjalankan pendakwaan.
Kirthiraj Rajasundram, Azlan Roni, Hezri Shaharil, Adi Zulkarnain Zulkafli tampil selaku peguam mewakili tertuduh.
Kes itu turut menarik perhatian masyarakat selepas anggota bomba Adib Kassim, yang cedera ketika bertugas di tempat kejadian, meninggal dunia di Institut Jantung Negara sebulan kemudian.
Tag