Gerakan tak ada pilihan lain jika tinggalkan PN, kata penganalisis politik

Gerakan tak ada pilihan lain jika tinggalkan PN, kata penganalisis politik

James Chin dari University of Tasmania berkata Gerakan akhirnya perlu sehaluan dengan gabungan utama lain untuk bertahan dari segi politik.

Gerakan meninggalkan Barisan Nasional untuk menyertai Perikatan Nasional selepas BN tewas pada PRU 2018. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Gerakan hampir “tiada tempat untuk pergi” jika ia berusaha meninggalkan Perikatan Nasional (PN), kata seorang penganalisis politik.

James Chin dari University of Tasmania berkata Gerakan akan bergelut untuk bertahan sebagai parti bebas dan akhirnya mesti sehaluan dengan salah satu daripada tiga gabungan utama – Pakatan Harapan, Barisan Nasional (BN) atau PN.

“Jelas sekali, mereka tidak boleh pergi (ke PH) kerana ‘periuk nasi’ mereka di kalangan bukan Melayu (pengundi) kemudiannya akan diambil oleh DAP dan PKR. Mereka boleh menyertai semula BN atau kekal bersama PN,” katanya kepada FMT.

Chin diminta mengulas mengenai hasrat Ketua Gerakan Wilayah Persekutuan Lau Hoi Keong untuk mengkaji semula kedudukan parti dalam PN selepas PRN akan datang, sekiranya beliau menang menentang penyandang presiden Dominic Lau pada pemilihan parti nanti.

Hoi Keong dipetik Malaysiakini sebagai berkata beliau hanya menyokong sementara idea Gerakan menjadi sebahagian daripada PN bersama Bersatu dan PAS.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya juga berkata cadangan yang dikemukakan oleh Hoi Keong bukanlah pilihan yang boleh dilaksanakan untuk parti itu, walaupun ia berpotensi menjadi tarikan kepada akar umbinya.

“Realitinya, Gerakan terperangkap. Jika kekal atau pergi, tidak banyak bezanya. Jika ia kekal (dalam PN), ia tidak akan mendapat sebarang undi (Cina) dan jika ia keluar (PN), ia tidak mempunyai hala tuju yang jelas kerana kebanyakan pengundi Cina lebih suka menyokong (parti komponen dalam) kerajaan perpaduan,” katanya.

Seorang lagi penganalisis politik Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata Gerakan tidak akan menawarkan apa-apa kepada gabungan lain menerusi pilihan raya.

“Selain PN, di mana ia dianggap sebagai ‘poster child’, Gerakan tidak mungkin akan dapat mencari rakan kerjasama, walaupun dengan BN, yang telah dikhianatinya” katanya merujuk kepada saat parti itu meninggalkan BN selepas kekalahan gabungan itu pada PRU 2018.

Oh juga menyatakan keraguan tentang prospek Gerakan untuk survival politik jika parti itu meninggalkan PN dan bergerak solo.

“(Malah) Muda pun tidak banyak (tarikan) sebagai kuasa ketiga, apatah lagi Gerakan,” soalnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.