Terengganu nafi ugut potong elaun pelajar tak hadir program MB

Terengganu nafi ugut potong elaun pelajar tak hadir program MB

Tiada arahan sedemikian dikeluarkan seperti didakwa Exco Pemuda PKR Farah Ariana menerusi Twitter semalam.

Ahmad Samsuri Mokhtar bertemu pelajar berasal dari Terengganu di Lembah Klang dalam program di Bangi, Ahad lalu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kerajaan Terengganu menafikan dakwaan ada pelajar tajaan Yayasan Terengganu diugut akan dipotong elaun sara hidup jika tidak menghadiri sebuah program bersama Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar, Ahad lalu.

Exco Pelaksanaan Syariah Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Satiful Bahari Mamat, berkata tiada arahan sedemikian dikeluarkan seperti didakwa Exco Pemuda PKR, Farah Ariana menerusi Twitter semalam.

“Itu tidak benar.

“Tiada arahan sedemikian, pelajar dijemput sahaja kerana (sekarang) minggu belajar (bagi menghadapi peperiksaan akhir),” katanya kepada FMT.

Tangkap layar dakwaan ugutan terhadap pelajar tajaan Yayasan Terengganu

Farah menerusi ciapannya menyertakan tangkap layar perbualan dengan seorang rakannya yang memaklumkannya penerima Biasiswa Skim Pelajar Cemerlang (SPC) Yayasan Terengganu diugut menghadiri Townhall Mahasiswa Perantau 2023 “MB Nok Jupe” dihadiri Samsuri.

Mereka yang gagal menghadiri tanpa alasan munasabah akan dikenakan tindakan tegas termasuk bayaran elaun sara hidup disekat.

Program di Pusat Konvensyen Bangi itu menghimpunkan pelajar berasal dari Terengganu di sekitar institusi pengajian tinggi (IPT) di Lembah Klang untuk sesi dialog dengan Samsuri yang juga penyandang DUN Rhu Rendang.

Dalam hantaran itu, Farah turut memohon penjelasan daripada Samsuri berhubung ugutan terbabit.

FMT menghubunginya untuk mendapatkan maklum balas.

Sebelum ini, pembangkang mengkritik Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengutamakan program bertemu mahasiswa di universiti tanpa memberi tumpuan keadaan ekonomi negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.