Kerajaan beri amaran terakhir berkait sentimen 3R

Kerajaan beri amaran terakhir berkait sentimen 3R

Perdana menteri berkata negara tidak mampu bertahan dan stabil jika isu 3R terus dijadikan modal pihak tertentu.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata negara tidak boleh bertahan dan stabil jika dibiarkan unsur kecil yang datang dari pihak terdesak membuat apa sahaja untuk mempertahankan kuasa.
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi amaran terakhir kepada pihak yang cuba menyentuh sensitiviti kaum, agama dan institusi diraja (3R).

Beliau berkata, negara tidak mampu bertahan dan stabil jika isu 3R terus dijadikan modal pihak tertentu yang terdesak mahu menjaga kepentingan masing-masing.

“Negara tidak boleh bertahan dan stabil kalau dibiarkan unsur kecil yang datang dari pihak yang terdesak membuat apa sahaja hanya untuk mempertahankan kuasa atau mencari pengaruh.

“Setakat ini cukup pesanan saya ini maknanya amaran terakhir daripada kerajaan,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat pemimpin kerajaan perpaduan di ibu pejabat Umno.

Anwar berkata, setakat ini polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memantau semua kandungan yang mengandungi sentimen 3R tanpa ada pengecualian.

Katanya, tindakan akan diambil ke atas siapa pun tanpa mengira status atau kedudukan.

“Saya selaku perdana menteri tidak ada pilihan kerana desakan daripada kalangan pemikir dan untuk pertahankan keselamatan negara,” katanya.

Mengulas mengenai pembahagian kerusi antara kerajaan perpaduan, Anwar berkata hanya tinggal beberapa kerusi lagi untuk dimuktamadkan, yang akan dilakukan dalam masa terdekat.

“Kami akan umumkan nama calon dalam 2-3 hari lagi,” katanya

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.