
Beliau yang juga timbalan menteri belia dan sukan mengajak orang ramai merenung kelakuan bekas perdana menteri itu mutakhir ini, yang disifatkan sebagai merosakkan, kerana selama ini Malaysia diterima dan diuar-uarkan sebagai negara berbilang kaum.
“Kita dah selesai dah perkara ini sebenarnya. Begitulah Tun, bercakap ikut kepentingan semasa dia. Kita tak boleh layan, rosak kita,” katanya dalam temubual dengan FMT.
Di sebalik kontroversi yang tercetus, Adam berkata sekurang-kurangnya masyarakat hari ini boleh menilai sendiri kata-kata Mahathir itu.
“Itu bukan Malaysia. Malaysia rumah untuk semua orang, dibangunkan untuk semua orang. Kita bukan bangsa yang kecil; kita ini bangsa besar – bangsa Malaysia. Mungkin kita lupa tapi orang luar sebut Malaysia negara yang berhasil menjaga keharmonian kaum.”
Selepas kalah teruk di Langkawi pada PRU15, bekas perdana menteri itu kembali menjadi perhatian apabila mengasaskan Proklamasi Orang Melayu, dan berganding bahu dengan Perikatan Nasional untuk PRN akan datang, baru-baru ini.
Awal bulan ini Mahathir dilapor memanfaatkan Facebook untuk berkata tindakan mempromosi negara berbilang bangsa bertentangan dengan Perlembagaan, malah mendakwa ia menekankan kemelayuan Malaysia.
Kenyataan itu bagaimanapun dikritik oleh pakar-pakar perlembagaan. “Saya tak tahu Perlembagaan mana dia rujuk itu,” kata Adam.
Anak kelahiran Pulau Pinang ini tegas mempertahankan idea “negara berbilang kaum, masyarakat penuh warna” sebagai identiti PKR, meskipun partinya sukar menarik sokongan masyarakat Melayu dan Islam terbanyak berbanding parti-parti berasaskan kaum atau agama.
“Kita cuba mendekati lebih ramai supaya faham bahawa Melayu dan Islam itu sangat menghormati orang lain, selamat, mesra, ada ketegasan tapi dalam masa sama baik untuk semua orang,” katanya.
Adam percaya sekarang waktu yang sesuai untuk memperhebatkan usaha mendekati masyarakat Melayu dan golongan agamawan, “di samping kita pertahankan negara berbilang kaum dengan masyarakat yang penuh warna.”