Ibu tunggal didakwa terima deposit RM581,000 tanpa lesen

Ibu tunggal didakwa terima deposit RM581,000 tanpa lesen

Noryani Abdullah mengaku tidak bersalah menerima wang untuk tujuan perniagaan pelaburan.

Noryani Abdullah didakwa atas dua tuduhan menerima deposit pelaburan berjumlah RM581,000 daripada seorang wanita walaupun tidak memiliki lesen sah. (Gambar Bernama)
MELAKA:
Seorang ibu tunggal mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen atas dua tuduhan menerima deposit pelaburan tanpa lesen yang sah, berjumlah RM581,000 antara Januari 2020 dan September 2021.

Dalam prosiding di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail, Noryani Abdullah, 56, didakwa menerima deposit wang pelaburan daripada Fatimah Abdullah, 61, berjumlah RM249,500 yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi tertuduh, untuk tujuan perniagaan pelaburan.

Wanita itu didakwa menerima deposit berkenaan tanpa lesen yang sah di bawah Seksyen 10, Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, di sebuah bank di Jalan Hang Tuah antara 8 Jan 2020 hingga 26 Okt 2020.

Sementara itu, di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam, wanita itu didakwa menerima deposit wang pelaburan daripada mangsa yang sama, berjumlah RM331,500 yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi tertuduh untuk tujuan perniagaan pelaburan tanpa suatu lesen yang sah.

Ibu kepada enam anak itu dituduh melakukan kesalahan berkenaan di sebuah bank di Jalan Hang Tuah antara 16 Feb 2021 hingga 24 Sept 2021.

Kedua-dua pertuduhan mengikut Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 137(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM50 juta atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya Puteri Nur Nadia Mohamed Iqbal dan Timbalan Pendakwa Raya Aliff Asraf Anuar Sharuddin, masing-masing menawarkan jaminan RM30,000 dan RM20,000 dengan seorang penjamin, serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah selain perlu melapor diri sebulan sekali di balai polis.

Bagaimanapun peguam tertuduh, Andrew Lourdes memohon jaminan dikurangkan memandangkan tertuduh tidak bekerja dan perlu menyara enam orang anak, selain menghidap penyakit kencing manis serta darah tinggi.

Sabri kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM25,000 dengan seorang penjamin, manakala Darmafikri membenarkan jaminan sebanyak RM20,000.

Kes disebut semula pada 11 Ogos depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.