
Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan berkata, mangsa dalam kes pertama ialah doktor pakar yang ditipu menerusi pelaburan mata wang kripto melibatkan kerugian lebih RM2 juta pada Februari lalu.
Katanya, mangsa berusia 57 tahun itu berkenalan dengan seorang lelaki dikenali sebagai “Profesor Kim So Young” kononnya warga Korea menerusi LinkedIn pada bulan sama.
Beliau berkata, suspek menawarkan pelaburan “Trading Crpytocurrency” dan mangsa mendaftar serta membuka akaun perdagangan di https://www.ixtik.rest.
“Mangsa kemudiannya melakukan pemindahan wang dalam talian sebanyak 55 kali ke 37 akaun bank berbeza yang diberikan suspek bagi tujuan membeli mata wang USD untuk ditukarkan dalam bentuk mata wang kripto dengan wang berjumlah kira-kira RM2.097 juta.
“Doktor pakar itu membuat laporan polis di Ampang Jaya selepas akaun pelaburan itu tidak dapat diakses dan suspek tidak lagi dapat dihubungi,” katanya dalam kenyataan.
Bagi kes kedua, Hussein berkata, seorang pesara jurutera syarikat swasta ditipu menerusi pelaburan saham selepas berkenalan dengan seorang wanita dikenali sebagai “Anna” di LinkedIn sekitar Mei lalu.
“Mangsa ditawarkan menyertai pelaburan saham dan kumpulan WhatsApp ‘1 Year 10 Times Wealth Club’ sebelum diminta memuat turun aplikasi ‘PSLUS’ untuk membuka akaun pelaburan serta membuat bayaran deposit.
“Mangsa yang membuat bayaran deposit melibatkan 19 transaksi berjumlah RM1.052 juta menerusi lapan akaun bank berbeza sejak 15 Jun hingga 2 Julai lepas, menyedari ditipu apabila pihak khidmat pelanggan tidak lagi menjawab pesanannya lalu dia membuat laporan polis di Sepang.”
Beliau menasihatkan orang ramai tidak mudah terpedaya dengan iklan pelaburan mata wang kripto, saham atau sebarang pelaburan ditawarkan dalam talian, khasnya menerusi media sosial yang kononnya menawarkan keuntungan besar dalam masa singkat.
“Orang ramai diingatkan membuat semakan di laman sesawang Bank Negara Malaysia bagi menentukan sama ada sesebuah syarikat pelaburan itu berdaftar atau tidak, sebelum membuat pelaburan.”