Muhyiddin tarik balik permohonan pindah kes rasuah

Muhyiddin tarik balik permohonan pindah kes rasuah

Permohonan itu ditarik balik kerana menunggu keputusan permohonan untuk membatalkan tujuh tuduhan tersebut.

Pengerusi Perikatan Nasional, Muhyiddin Yassin berdepan tujuh tuduhan menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan dan menerima wang hasil aktiviti haram.
KUALA LUMPUR:
Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin menarik balik permohonan supaya tujuh kes menggunakan kedudukan untuk suapan dan menerima wang hasil aktiviti haram yang dihadapinya, dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Muhyiddin memaklumkan Hakim Mahkamah Tinggi K Muniandy, bahawa pihaknya telah menghantar surat penarikan permohonan itu kepada pendakwaan pada 5 Julai lepas.

“Oleh itu, pihak kami memohon supaya permohonan untuk memindahkan kes ini dibatalkan,” katanya semasa pengurusan kes itu.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin mengesahkan perkara itu dan tidak membantah permohonan berkenaan.

Menerusi surat permohonan menari balik pemindahan itu, Muhyiddin juga memohon untuk membatalkan pertuduhan-pertuduhan dan permohonan untuk memindahkan kes akan menjadi akademik, jika permohonan membatalkan pertuduhan dibenarkan.

“Kami (pembelaan) mengesyorkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), supaya permohonan pemindahan ditunda sehingga selepas permohonan pembatalan diputuskan, namun SPRM mahu permohonan pemindahan didengar dahulu.

“Bagaimanapun demi menjimatkan masa dan kos mahkamah, oleh kerana kami berpendapat permohonan pemindahan akan menjadi akademik jika permohonan pembatalan tersebut dibenarkan, kami dengan ini menarik balik (permohonan pemindahan) ini,” seperti terkandung dalam surat itu.

Pada 10 Mac lepas, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta dan dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram RM195 juta.

Ahli Parlimen Pagoh itu didakwa melakukan semua kesalahan itu di Pejabat Perdana Menteri, Blok Utama, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya dan CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral, di sini, antara 25 Feb 2021 dan 16 Julai 2021, 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021 serta 8 Feb dan 8 Julai 2022.

Pada 13 Mac lepas pula, Muhyiddin didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas satu pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta di AmBank cawangan Amcorp Mall, Petaling Jaya dekat sini, pada 7 Jan 2022.

Muhyiddin memfailkan permohonan untuk membatalkan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti Bersatu pada 18 April lepas.

Pada 27 April, Muhyiddin memfailkan permohonan untuk memindahkan semua kesnya ke Mahkamah Tinggi kerana kes itu melibatkan persoalan undang-undang yang kompleks membabitkan Perlembagaan Persekutuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.