Mahkamah benar Najib hadir prosiding saman Thomas

Mahkamah benar Najib hadir prosiding saman Thomas

Arahan bekas perdana menteri itu diperlukan sewaktu prosiding, kata peguamnya.

Bekas PM Najib Razak sedang menjalani hukuman 12 tahun di penjara Kajang berikutan sabitan dalam kes SRC International. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan bekas perdana menteri Najib Razak untuk menghadiri pendengaran rayuannya untuk mengembalikan semula saman terhadap bekas peguam negara Tommy Thomas atas dakwaan misfeasans dalam jawatan awam.

Najib memfailkan saman itu pada 2021, mendakwa tuduhan jenayah dibuat terhadapnya semasa Thomas memegang jawatan adalah “sebahagian daripada sesuatu yang telah lama dirancang”.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membatalkan saman itu tahun lepas atas alasan peguam negara ketika itu mempunyai kekebalan disaman dan, dalam apa jua keadaan, tindakannya tidak boleh diadili.

Rayuan Najib dijadualkan didengar esok.

Peguam Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin memberitahu mahkamah, kehadiran Najib pada prosiding penting kerana pasukan undang-undang perlu mendapatkan arahannya.

Hakim Kamaludin Said, pengerusi panel tiga anggota yang mendengar permohonan itu, mengumumkan keputusan sebulat suara membenarkan permohonan Najib.

Panel itu turut dianggotai Hakim Lim Chong Fong dan Azizul Azmi Adnan.

Najib sedang menjalani hukuman 12 tahun di penjara Kajang berikutan sabitan atas kesalahan rasuah dan salah guna kuasa dalam kes SRC International.

Dalam samannya, beliau mendakwa bahawa Thomas pada 2012 membentuk pendapat terhadapnya berhubung 1MDB.

“Selepas PRU pada Mei 2018, beliau (Thomas) telah membuat keputusan untuk mendakwa plaintif (Najib) sebelum mengkaji kes-kes berkenaan,” katanya.

Dalam usaha Thomas membatalkan tuntutan itu, beliau berkata, saman Najib difailkan atas “sebab-sebab politik”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.