
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata produk Airee Beautycare Night Cream dikesan mengandungi merkuri manakala BL Ledehh Day Cream 1 mengandungi hydroquinone dan tretinoin.
Radzi berkata merkuri dilarang dalam produk kosmetik kerana boleh memudaratkan kesihatan sehingga menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf serta boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau janin, selain menyebabkan ruam dan iritasi pada kulit.
“Produk yang mengandungi hydroquinone dan tretinoin merupakan ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan,” katanya menurut Bernama.
Menurutnya, hydroquinone boleh menyebabkan kemerahan pada kulit disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit tidak diingini, kulit menjadi hipersensitif, boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar ultraungu (UV) berbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit.
Penggunaan tretinoin tanpa pengawasan juga boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.
Radzi berkata penjual dan pengedar produk berkenaan perlu menghentikan penjualan dan pengedarannya dengan serta-merta kerana melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan-peraturan tersebut boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.
Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya, katanya.
“Orang awam yang sedang menggunakan produk berkenaan dinasihatkan agar segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers,” katanya.
Status notifikasi sesuatu produk kosmetik boleh disemak menerusi laman sesawang Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), www.npra.gov.my.