LGE cabar ketua Pemuda PN lapor polis

LGE cabar ketua Pemuda PN lapor polis

Pengerusi DAP Lim Guan Eng berkata akhbar bahasa Cina yang melaporkan ucapannya tempoh hari itu telah menyatakan media lain tersilap dalam terjemahan laporannya.

China Press yang melaporkan ucapannya tempoh hari menyatakan media lain telah tersilap dalam terjemahan laporannya, kata Pengerusi DAP Lim Guan Eng.
PETALING JAYA:
Lim Guan Eng mencabar Ketua Pemuda Perikatan Nasional Ahmad Fadhli Shaari sendiri membuat laporan polis terhadapnya, selepas sayap gabungan itu dikerah untuk membuat laporan polis berkait ucapannya baru-baru ini.

Pengerusi DAP itu berkata Fadhli tidak patut membiarkan anak-anak buahnya menghadapi kemungkinan melakukan jenayah dengan membuat laporan polis palsu.

Lim memaklumkan bahawa akhbar China Press yang melaporkan ucapannya tempoh hari itu telah menyatakan bahawa media lain telah tersilap dalam terjemahan laporannya.

“Ini mengesahkan kenyataan saya semalam bahawa ucapan Bahasa Mandarin saya telah diputarbelitkan,” katanya dalam kenyataan, sambil membidas serangan berdasarkan terjemahan itu.

“Adakah beliau sendiri berani tampil untuk ke hadapan dengan membuat laporan polis palsu terhadap saya?” tambahnya.

Semalam, Lim menolak dakwaan beliau menyentuh isu berkait 3R atau religion (agama), royalty (raja), dan race (kaum) dalam ucapannya pada satu program di Jelutong, Pulau Pinang, kelmarin.

Lim yang juga bekas ketua menteri Pulau Pinang berkata ucapannya telah diputar belit seolah-olah ada pihak ingin merobohkan tokong Buddha atau Cina, sedangkan beliau merujuk kepada kes perobohan kuil di Kedah pada Julai 2020.

Fadhli dalam kenyataan hari ini berkata Pemuda PN dikerah membuat laporan polis di seluruh negara terhadap Lim berhubung kenyataan yang didakwa menyentuh isu berkait 3R.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.