Kuota IPTA: Ketua Pemuda MCA ‘salah tafsir’ pendirian kerajaan, kata Zahid

Kuota IPTA: Ketua Pemuda MCA ‘salah tafsir’ pendirian kerajaan, kata Zahid

Kuota untuk Bumiputera tidak bermaksud menghalang etnik lain ke universiti, kata Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi percaya ketua Pemuda MCA ‘tersalah tafsir’ pendirian kerajaan berhubung kuota Bumiputera ke universiti awam.
KUALA LUMPUR:
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Zahid Hamidi percaya ketua Pemuda MCA ‘tersalah tafsir’ pendirian kerajaan perpaduan berhubung kuota Bumiputera ke universiti awam.

Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata kuota untuk Bumiputera tidak bermaksud menghalang etnik lain ke universiti.

“Sudah semestinya akan ada kuota untuk Bumiputera seperti termaktub dalam Perlembagaan. Ia tidak bermaksud kita menafikan kemasukan etnik Malaysia lain,” katanya pada sidang media selepas selepas merasmikan minggu usahawan dan perusahaan mikro, kecil, dan sederhana di Dataran Merdeka.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan Ketua Pemuda MCA, Nicole Wong Siaw Ting berkata kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkenaan kuota Bumiputera dalam pendidikan membuatkan rakyat berasa seperti telah mundur ke tahun 1960-an dan 70-an.

Anwar dalam satu acara di Universiti Utara Malaysia semalam dilapor berkata kuota Bumiputera ke universiti awam perlu dikekalkan bagi menjamin keistimewaan yang termaktub dalam Perlembagaan.

Namun, kata perdana menteri lagi, perlu dilaksanakan suatu pendekatan baharu bagi menjamin pelajar bukan Bumiputera yang cemerlang berpeluang ke universiti, bagi mengelak kehilangan bakat.

“Saya fikir ia adalah salah tafsir. Disebabkan salah tafsir, saya fikir ia boleh diperbetulkan,” kata Zahid.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.