
“Bersikap adillah kepada mereka, mereka juga bayar cukai jalan,” kata Law Teik Hua, dari Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia.
Beliau berkata, jalan raya yang dibina direka terutama untuk kereta, bukan penunggang motosikal, walaupun kereta dan motosikal lebih kurang sama banyak atas jalan raya atau “50-50″.
Law berkata, kerajaan harus memberikan keutamaan kepada infrastruktur lebih baik, seperti menambah lorong motosikal ke jalan utama. Kementerian Pengangkutan mengumumkan pada Disember ia akan menggabungkan lorong motosikal di semua jalan raya negeri dan persekutuan untuk mengurangkan kepada separuh kematian di jalan raya menjelang 2030.
Pada Isnin, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melaporkan penunggang motosikal berusia antara 15 dan 35 tahun paling berisiko terlibat kemalangan jalan raya.
Law berkata, penunggang motosikal tidak mempunyai perlindungan walaupun sangat terdedah di jalan raya.
“Di dalam kereta, kita dilindungi oleh struktur kenderaan itu sendiri. Kita ada beg udara dan tali pinggang keledar,” katanya kepada FMT.
“Namun penunggang motosikal hanya dapat bergantung pada topi keledar. Walaupun mereka memakainya, tidak bermakna ia mengurangkan risiko kematian mereka dengan ketara.”
Indeks kematian jalan raya di Malaysia menunjukkan 59% daripada kematian jalan raya antara 2010 dan 2019 membabitkan penunggang motosikal.
Law tidak bersetuju dengan cadangan dikemukakan sebelum ini, agar umur minimum mendapatkan lesen motosikal dinaikkan. Beliau berkata, ini tidak akan membendung kegiatan menunggang bawah umur kerana motosikal murah dan mudah diakses.
Ahmad Farhan Mohd Sadullah, bekas ketua pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, juga tidak setuju menaikkan umur minimum.
Beliau berkata, kerajaan harus memberikan tumpuan kepada mengekang penunggang bawah umur, yang tidak mendapat latihan betul kerana mereka berkemungkinan besar belajar sendiri atau diajar oleh individu “tidak cekap”.
“Mereka akan ‘buta’ terhadap peraturan lalu-lintas kerana tidak pernah mempelajarinya dari awal. Walaupun selepas mendapat lesen, tabiat lama lazimnya sukar dibuang,” katanya.