Apa saya sebut kebanyakan betul, Wan Saiful jawab Loke

Apa saya sebut kebanyakan betul, Wan Saiful jawab Loke

Ahli Parlimen Tasek Gelugor mendakwa beliau paling awal meramal penukaran ketua menteri Melaka dan menteri besar Johor selepas PRN diadakan di dua negeri itu.

Wan Saiful Wan Jan mendakwa Timbalan Menteri Kewangan Steven Sim akan bertanding pada PRN Pulau Pinang.
GEORGE TOWN:
Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan berkata kebanyakkan “maklumat” disebut berhubung penukaran pemimpin kerajaan negeri terbukti benar.

Beliau berkata, perkara itu dibuktikan melalui ramalan sebelum PRK Melaka dan Johor masing-masing pada November 221 dan Mac 2022.

Wan Saiful menjawab kenyataan Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook menolak kononnya Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim akan menggantikan Chow Kon Yeow sebagai ketua menteri jika Pakatan Harapan kembali memerintah Pulau Pinang.

Pada ceramah semalam, Wan Saiful berkata, sebelum ini beliau paling awal mendakwa Sulaiman Ali tidak akan kekal sebagai ketua menteri Melaka selepas PRN.

“Saya ada rekod masa pilihan raya Melaka, saya yang paling awal kata ketua menteri (Sulaiman) sebelum pilihan raya itu akan bertukar dengan orang lain.

“Orang yang diuar-uarkan akan menjadi ketua menteri Melaka tak akan menjadi ketua menteri sebab ada orang yang akan jadi dan betul bertukar,” katanya.

Sulaiman meletakkan jawatan pada 30 Mac lalu dan diganti Adun Tanjung Bidara Ab Rauf Yusoh.

“Di Johor, saya antara orang pertama yang kata Hasni (Mohammad) jadi ‘poster boy’ sahaja…akhirnya dia akan tinggal ‘poster’ sahaja, ‘boy’ tak ada. Betul, lepas pilihan raya bukan dia jadi menteri besar,” katanya.

Wan Saiful juga berkata, beliau terawal menyatakan ada perbincangan antara Pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim dan Pengerusi Barisan Nasional Zahid Hamidi mengenai “apa yang hendak dibuat” selepas PRU15.

“Rekod saya setakat ini bila saya sebut, dia tidak salah banyak sangat…kebanyakannya betul,” katanya.

Semalam, dalam catatan di Facebook, Wan Saiful mendakwa ada khabar Sim yang juga timbalan menteri kewangan akan bertanding pada PRN Pulau Pinang dalam usaha menggantikan Chow yang dianggap “gagal memimpin negeri”.

Loke dalam maklum balasnya, berkata Wan Saiful sepatutnya tidak perlu menyibuk.

“Saya rasa tidak payah lah nak jaga tepi kain orang, dia sibuk dia punya hal sendiri,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.