‘Terajang’ keluar pengkhianat, Anwar beritahu pengundi Selangor

‘Terajang’ keluar pengkhianat, Anwar beritahu pengundi Selangor

Presiden PKR meminta pengundi Selangor menolak pengkhianat pada PRN 12 Ogos ini.

Anwar Ibrahim berucap dalam siri Jelajah Perpaduan Madani di Bangi malam tadi.
BANGI:
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim menggesa rakyat Selangor menolak pengkhianat termasuk mematikan karier politik mereka pada PRN 12 Ogos ini.

Tanpa menamakan mana-mana pihak, Anwar merujuk cerita klasik mengenai “Si Kitol dan Raja Mendeliar” berkaitan pengkhianatan.

“Yang khianat kita terajang keluar, saya nak bagitahu kalau ada muka pengkhianat terajang dengan laju terjun ke tengah itu,” kata perdana menteri dalam siri Jelajah Perpaduan Madani malam tadi.

Dalam pada itu Anwar yang juga presiden PKR mempersoalkan fatwa digunakan pihak lawan untuk menarik sokongan supaya pengundi pulang mengundi pada PRN.

“Kena balik (mengundi) kalau ada tiket kapal terbang, beli. Kalau tak ada naik bas, kalau tak ada (tiket bas), jalan kaki. Mengundi tetap mengundi, kalau tak ikut, Islam akan jahanamkan kamu.

“Fatwa mana ni? saudara-saudara guna agama, tunggang agama, kita pertahankan Islam, lawan golongan tunggang agama, menunggang agama untuk berkuasa dengan cara fitnah,” katanya.

Sementara itu, Anwar turut mempertahankan DAP dan Umno yang kini menjadi sekutunya dalam politik.

Beliau berkata, walaupun DAP sering menjadi sasaran pembangkang, parti itu tidak pernah membantah keputusan kerajaan memberi bantuan kepada orang Melayu dan Islam, malah sentiasa menyokong usaha berkenaan demi kepentingan negara.

Katanya, ia termasuk usaha terbaru untuk menyelesaikan hutang peneroka Felda serta peruntukan untuk agama Islam.

“Tak habis mantera mereka (kata) DAP, temberang sana sini. Kita tambah peruntukan untuk Islam, tiada bantahan pun, malah (DAP) beri kerjasama.

“Malah ketika saya bentang dalam Kabinet, presiden Umno (Zahid Hamidi) memang setuju, (setiausaha agung DAP) Loke Siew Fook pun sokong,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.