Kerajaan digesa selesai masalah sebabkan kekurangan pemandu bas

Kerajaan digesa selesai masalah sebabkan kekurangan pemandu bas

Kesatuan pekerja berkata keberuntungan perniagaan pengangkutan mesti ditangani agar pengusaha mampu membayar gaji lebih menarik kepada pemandu bas.

Kementerian Pengangkutan digesa memperbaharu sistem bas dengan matlamat mengurangkan persaingan.
PETALING JAYA:
Kesatuan Pekerja Pengangkutan menggesa kerajaan menyelesaikan isu kekurangan pemandu bas di negara ini dengan menangani masalah yang menjejaskan keberuntungan perniagaan.

Setiausaha Agung Zainal Rampak berkata, kos operasi yang tinggi, hasil yang rendah dan persaingan yang sengit menyukarkan pengusaha bas mengambil pemandu, apatah lagi membayar gaji yang mampu bersaing dengan industri lain.

Pemandu bas memperoleh kira-kira RM2,500 sebulan jika mereka bekerja lebih masa.

Beliau mengulas inisiatif kerajaan memberikan lebih 500 lesen perkhidmatan kenderaan perkhidmatan awam (PSV) secara percuma. Kos lesen PSV ialah RM2,590.

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata, program itu dapat membantu menyelesaikan masalah kekurangan pemandu bas sedia ada.

Zainal turut menggesa Kementerian Pengangkutan memperbaharu sistem bas dengan matlamat mengurangkan persaingan. Beliau berkata, kekurangan keuntungan menyebabkan pengusaha tidak lagi dapat menjalankan perniagaan.

“Apa kata kementerian panggil semua pengusaha bas dan minta mereka bergabung?”

Katanya, pertindihan perkhidmatan dalam kalangan pengendali yang bersaing membawa kepada lebih sedikit penumpang dan memberikan kesan kepada hasil dan keuntungan.

“Saya cadangkan menteri berbincang dengan pengendali (bas) dan minta mereka bergabung supaya mereka tidak bersaing mendapatkan penumpang, lalu akan untung,” katanya.

Ini akan membolehkan mereka menarik minat pemandu untuk bekerja, dengan menawarkan terma gaji yang lebih bagus, tambahnya.

Presiden Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia Ashfar Ali berkata, sukar untuk mengekalkan pemandu dalam iklim sedia ada.

“Krisis semasa terutamanya boleh dikaitkan dengan pemandu lama yang bersara, ada yang berhijrah untuk bekerja di Singapura, atau pergi bekerja di industri lain (untuk mendapatkan gaji lebih tinggi) serta kos kemasukan yang tinggi untuk menjadi pemandu,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, kekurangan tenaga kerja menyebabkan masalah disiplin dalam kalangan pemandu sedia ada, termasuk memandu laju dan melanggar lampu merah kerana mereka tahu mereka tidak mudah digantikan.

Ashfar mencadangkan agar kerajaan menyediakan latihan percuma kepada mereka yang berminat menjadi pemandu bas dan lori.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.