Penumpang jatuh atas landasan kereta api di Woodlands

Penumpang jatuh atas landasan kereta api di Woodlands

KTMB berkata kejadian itu berlaku ketika penumpang tersebut cuba turun dari kereta api Shutle Tebrau sebelum ia berhenti sepenuhnya.

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memaklumkan penumpang yang terjatuh atas landasan di pusat pemeriksaan kereta api Woodlands dihantar ke hospital berhampiran.
KUALA LUMPUR:
Seorang penumpang yang terjatuh ke atas landasan di pusat pemeriksaan kereta api Woodlands di Singapura pada Rabu, 5.35 pagi dihantar ke hospital berhampiran untuk pemeriksaan dan rawatan.

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam kenyataan memaklumkan penumpang itu diselamatkan oleh kru KTMB dan pegawai daripada Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan Singapura (ICA).

“Siasatan kami mendapati kejadian itu terjadi ketika penumpang tersebut cuba untuk turun dari kereta api Shutle Tebrau sebelum ia berhenti sepenuhnya.

“Sebagai langkah keselamatan, semua penumpang perlu terus duduk sehingga kereta api berhenti sepenuhnya. KTMB kesal dengan kejadian tersebut. Keselamatan penumpang sentiasa menjadi keutamaan. Kami akan terus berusaha untuk mempertingkatkan perkhidmatan kami dan memastikan perjalanan yang selamat dan selesa untuk kesemua penumpang,” menurut kenyataan itu.

KTMB juga menasihatkan penumpang sentiasa mematuhi notis keselamatan yang diletakkan pada setiap pintu gelangsar kereta api dan juga stesen.

KTMB memaklumkan kereta api Shuttle Tebrau mematuhi standard keselamatan.

Setiap koc dilengkapi dengan pintu yang boleh dibuka secara manual atau dikunci dari dalam sebagai satu daripada ciri keselamatan untuk penumpang keluar dari koc pada waktu kecemasan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.