Kedah masih ketinggalan walau dekat dengan P Pinang, Sanusi diberitahu

Kedah masih ketinggalan walau dekat dengan P Pinang, Sanusi diberitahu

Menteri besar Kedah berdepan kecaman kerana mendakwa Selangor hanya membangun kerana terletak berdekatan Kuala Lumpur.

Sanusi Md Nor sebelum ini mendakwa Selangor membangun bukan disebabkan dasar kerajaan negeri PH, tetapi terletak berhampiran Kuala Lumpur. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang bekas Adun Selangor membidas dakwaan Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor, Selangor maju dan kaya hanya kerana ia terletak berdekatan Kuala Lumpur.

Bekas Adun Dusun Tua, Edry Faizal, memberitahu FMT Kedah terletak berdekatan Pulau Pinang, namun masih ketinggalan dari segi pembangunan dan hampir tidak mendapat manfaat daripada pertumbuhan ekonomi pulau itu.

Pemimpin DAP itu memberitahu Sanusi supaya fokus membangunkan negerinya, berbanding mendakwa Pulau Pinang milik Kedah, seperti yang berulang kali dikatakan oleh pengarah pilihan raya PAS itu sebelum ini.

“Di Selangor, kita bernasib baik tiada pemimpin macam Sanusi. Kalau tak nanti nak ambil Kuala Lumpur pula.

“Tetapi kita (Pakatan Harapan) tak buat macam tu,” katanya.

Khamis lalu, Sanusi mendakwa Selangor membangun bukan disebabkan dasar kerajaan negeri PH, tetapi sekadar nasib kerana terletak berhampiran Kuala Lumpur.

Sanusi, yang juga pengarah pilihan raya Perikatan Nasional (PN) berkata, Selangor tidak boleh dianggap sebagai negeri contoh PH kerana ia hanya menumpang manfaat dan rezeki yang dikongsi kerana terletak berhampiran ibu kota dan hab kewangan negara.

Bekas Ahli Parlimen Kapar, G Manivannan, berkata kemajuan mana-mana negeri atau Wilayah Persekutuan hasil dasar dilaksanakan oleh kerajaan berkaitan, bukan semata-mata faktor geografi.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR itu mendakwa, Kedah akan lebih maju jika dipimpin menteri besar seperti Amirudin Shari untuk satu penggal penuh.

“Tiada guna menyalahkan orang lain jika Kedah tidak maju,” katanya.

“Beri kami peluang mentadbir Kedah untuk tempoh lima tahun akan datang dan kami boleh buktikan pentadbiran PH bersama Barisan Nasional (BN) jauh lebih bagus (daripada pentadbiran Sanusi),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.