Sasaran PH menang 30 kerusi di P Pinang realistik, kata penganalisis

Sasaran PH menang 30 kerusi di P Pinang realistik, kata penganalisis

Azmi Hassan dan James Chin berkata, undi bukan Melayu dan ketidakmampuan PN memenangi hati mereka akan memastikan kemenangan buat PH-BN.

Pakatan Harapan memenangi 10 daripada 13 kerusi Parlimen di Pulau Pinang pada PRU lalu. (Gambar fail)
GEORGE TOWN:
Sokongan pengundi bukan Melayu kepada Pakatan Harapan (PH) akan membantu kerajaan perpaduan mencapai sasaran “30 hingga 32” kerusi dalam PRN Pulau Pinang, kata seorang penganalisis.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, kira-kira 80% sokongan yang diraih gabungan itu pada PRU lalu datang daripada pengundi bukan Melayu, statistik yang memberi kelebihan buat PH dan Barisan Nasional (BN) dalam PRN.

Berdasarkan data PRU15, seramai 743,293 pengundi bukan Melayu di negeri itu keluar mengundi tahun lalu, berbanding 483,333 pengundi Melayu.

PH memenangi 10 daripada 13 kerusi Parlimen di Pulau Pinang, manakala baki tiga kerusi dimenangi Perikatan Nasional (PN), iaitu Kepala Batas, Permatang Pauh dan Tasek Gelugor.

Katanya, pengundi yang tidak menyokong dua gabungan itu tidak mungkin menukar sokongan mereka.

“Pulau itu memberi sokongan padu kepada PH. Di tanah besar, selain tiga kerusi Parlimen (dimenangi PN), empat lagi kerusi menyokong PH disebabkan sokongan padu daripada bukan Melayu,” katanya kepada FMT.

Azmi berkata, ketidakupayaan PN memenangi hati pengundi bukan Melayu menghalang kemampuannya memenangi lebih banyak kerusi di negeri itu, yang mungkin ditambah lagi faktor kaum dan agama dimainkan pemimpin PAS.

Beliau berkata, Gerakan yang juga satu-satunya parti komponen berbilang bangsa dalam PN, tidak dapat memenangi undi bukan Melayu.

“Walaupun Muhyiddin (Yassin) kata PN boleh menang (hampir) 20 kerusi di Pulau Pinang, ia sangat diragui kerana mereka tidak dapat menarik pengundi bukan Melayu.

“Tambahan, pengundi Melayu di Pulau Pinang berpecah antara Umno, Amanah dan PKR. Saya rasa ini adalah kelemahan yang ada pada PN dan ia memberi kelebihan besar kepada PH-BN.”

Azmi mengulas sasaran Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow untuk memenangi 30 hingga 32 kerusi.

James Chin dari Universiti Tasmania berkata, sasaran ditetapkan Chow boleh dicapai memandangkan PN gagal menembusi kerusi majoriti Cina pada PRU15.

Katanya, “tiada masalah” untuk PH-BN memenangi 30 kerusi kerana PN hanya menembusi beberapa kerusi Parlimen majoriti Melayu, yang meliputi 10 hingga 12 kerusi DUN.

“Orang bukan Melayu sangat takut kepada PAS kerana mahu menubuhkan negara Islam,” katanya yang mengenal pasti punca ketidakpercayaan pengundi bukan Melayu terhadap PN dan seterusnya menjadikan sasaran Chow boleh dicapai.

Azmi dan Chin percaya PN hanya dapat memenangi 10 kerusi, separuh daripada jumlah kerusi boleh dimenangi gabungan itu seperti dikatakan Muhyiddin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.