Menteri akan isytihar harta bila format baharu siap, kata PMO

Menteri akan isytihar harta bila format baharu siap, kata PMO

Format baharu untuk proses pengisytiharan harta itu akan lebih komprehensif dan ditambah baik daripada mekanisme sedia ada.

Pejabat Perdana Menteri berkata anggota pentadbiran Persekutuan termasuk Jemaah Menteri akan mengisytiharkan harta mereka. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Anggota pentadbiran persekutuan termasuk Jemaah Menteri akan mengisytiharkan harta mereka sebaik sahaja format baharu ditambah baik, kata Pejabat Perdana Menteri (PMO).

PMO dalam satu kenyataan berkata, format baharu untuk proses pengisytiharan harta itu akan lebih komprehensif dan ditambah baik daripada mekanisme sedia ada.

Katanya, ia dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah yang dipengerusikan Perdana Menteri  Anwar Ibrahim hari ini.

Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman baru-baru ini mempersoalkan mengapa menteri-menteri masih belum mengisytiharkan harta walaupun selepas memegang kuasa selama tujuh bulan.

Sementara itu, PMO juga berkata, kerajaan akan mengeluarkan garis panduan berhubung “surat sokongan” oleh anggota pentadbiran untuk “urusan kerajaan”.

“Kerajaan memandang serius berhubung isu pengeluaran surat sokongan yang mempunyai unsur rasuah dan salah guna kuasa sehingga menjejaskan imej pentadbiran kerajaan,” katanya.

“Satu Garis Panduan Pengendalian Sokongan oleh Anggota Pentadbiran dalam Urusan Kerajaan akan dikeluarkan bagi memastikan surat sokongan tidak disalah guna bagi tujuan kepentingan peribadi.”

Kata PMO lagi, jawatankuasa juga bersetuju supaya Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) dibentangkan secara berkala di Mesyuarat Jemaah Menteri, bermula dengan laporan tahun 2022.

Langkah ini supaya setiap isu dilaporkan dapat diambil tindakan dengan lebih berkesan, katanya.

PMO berkata, jawatankuasa itu juga akan mengkaji semula had bilangan lembaga pengarah yang boleh dianggotai oleh seseorang penjawat awam, termasuk badan berkanun, subsidiari dan entiti yang mempunyai kepentingan kerajaan.

Selain itu, Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah kini akan dikenali sebagai Jawatankuasa Khas Kabinet Tata Kelola Nasional (JKKTN).

“JKKTN akan diperkasa untuk meneliti isu-isu kelemahan tata kelola melibatkan badan berkanun termasuk institusi pengajian tinggi awam (IPTA), subsidiari dan entiti yang mempunyai kepentingan kerajaan,” kata PMO.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.