
MAHB berkata pengendalian penumpang NTL terletak di bawah bidang kuasa syarikat penerbangan masing-masing dan Jabatan Imigresen, seperti yang dinyatakan di bawah undang-undang.
Ia berkata syarikat bebas yang ditugaskan mengendalikan penumpang NTL di lapangan terbang itu dilantik oleh Jawatankuasa Pengendali Syarikat Penerbangan KLIA (AOC), sebuah jawatankuasa 40 pengendali penerbangan di KLIA dan 26 syarikat bersekutu, dan bukan oleh MAHB.
“Pelantikan itu dipersetujui dan disahkan oleh Jabatan Imigresen. Sebagai pengendali lapangan terbang, MAHB menyediakan ruang yang sesuai untuk memudahkan pengendalian penumpang NTL sementara menunggu penerbangan pulang mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
MAHB mengulas kenyataan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki, yang berkata ejen yang didakwa meminta bayaran untuk membantu seorang warga China selepas dia dinafikan masuk ke Malaysia dikaitkan dengan sebuah syarikat yang berpangkalan di KLIA.
Beliau berkata syarikat itu telah diberi kontrak oleh MAHB untuk menguruskan pelancong yang menerima notis NTL sejak 2017.
SPRM sedang menjejaki ejen berkenaan yang dipercayai warga asing. Azam berkata SPRM juga akan merakam keterangan daripada syarikat itu dalam masa terdekat.
Beliau juga berkata SPRM mesti menyiasat secara menyeluruh sama ada kontrak yang diberikan kepada syarikat ini adalah sesuatu yang dibenarkan oleh kerajaan.
Jumaat lalu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing mengaku beliau dikaitkan dalam kekecohan dengan pegawai Imigresen di KLIA selepas cuba membantu warga China yang didakwa dilarang masuk ke Malaysia.
Tiong mendakwa lawatannya ke lapangan terbang itu telah mendedahkan “budaya rasuah oleh beberapa pegawai dan penyalahgunaan kuasa yang kronik”.
Semalam, Azam berkata SPRM telah merakam keterangan sekurang-kurangnya 14 individu berhubung kejadian itu termasuk dua wanita dan lapan pegawai imigresen. Beliau turut mengesahkan bahawa Tiong turut dirakam keterangan.
Pada Selasa, sumber SPRM berkata agensi anti rasuah itu sedang mengesan individu yang bertindak sebagai ejen dan didakwa meminta rasuah berjumlah RM18,000 untuk menyelesaikan kes sedemikian.