Tiada program ‘agih wang’ sepanjang Ogos, kata MB Terengganu

Tiada program ‘agih wang’ sepanjang Ogos, kata MB Terengganu

PAS berwaspada susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan parti itu di Parlimen Kuala Terengganu, hujung bulan lalu kerana 'wujud unsur rasuah'.

Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar berkata PAS mengambil pendekatan berhati-hati sepanjang tempoh kempen PRN. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pembatalan kemenangan PAS di Parlimen Kuala Terengganu hujung bulan lalu dipercayai sebab Menteri Besar, Ahmad Samsuri Mokhtar mengumumkan tiada program berkaitan “agihan wang” kepada rakyat sepanjang Ogos.

“Seingat saya tiada program-program bantuan lain dalam musim pilihan raya nanti, hanya ada program sempena awal Muharam sahaja,” katanya menurut Sinar Harian.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan hari penamaan calon bagi PRU15 peringkat negeri di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu pada 29 Julai, undi awal 8 Ogos, manakala pengundian pada 12 Ogos.

Samsuri yang juga naib presiden PAS berkata, parti mengambil pendekatan berhati-hati sepanjang tempoh kempen pada PRN.

Beliau berkata, ia berikutan kes melibatkan beberapa Parlimen yang ditandingi calon parti itu di Terengganu pada PRU15.

Katanya, PAS Terengganu juga akan meneruskan kempen pada PRN dengan mengamalkan prinsip budaya “politik matang dan sejahtera”.

“Saya rasa itu sudah termasuk dalam agenda kami supaya lebih berhati-hati (sepanjang tempoh berkempen PRN).

“Kita akur untuk tidak melakukan apa-apa (yang berisiko boleh dikaitkan) dengan kesalahan peraturan-peraturan pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan pelancaran kad laporan prestasi dan buku kejayaan kerajaan Terengganu di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.

Pada 27 Jun, Kemenangan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim pada PRU15 dibatalkan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu. Keputusan itu dibuat Hakim Mohd Firuz Jaffril selepas mendapati wujud unsur rasuah ketika tempoh kempen pilihan raya bagi Parlimen berkenaan.

Bagaimanapun, bagi petisyen Parlimen Marang, PAS mengekalkan kemenangan parti itu yang dimenangi presidennya, Abdul Hadi Awang.

Pada 3 Jan, Umno Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU15 bagi Parlimen Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Ketua Umno Terengganu, Ahmad Said, berkata petisyen itu difailkan antara lain atas dakwaan PAS menyogok pengundi dengan mengagihkan wang bantuan diberikan kerajaan negeri pada 15 hingga 17 Nov 2022, beberapa hari sebelum PRU15 melalui program i-Pencen, i-Belia, dan i-Siswa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.