Rosmah persoal sama ada Idrus berhak lantik Sri Ram secara retrospektif

Rosmah persoal sama ada Idrus berhak lantik Sri Ram secara retrospektif

Ini antara persoalan undang-undang dikemukakan isteri bekas PM itu menerusi rayuan yang difailkan di Mahkamah Persekutuan hari ini.

Rosmah Mansor memfailkan rayuan melalui Tetuan Akberdin & Co hari ini, mengemukakan beberapa persoalan undang-undang untuk dipertimbangkan Mahkamah Persekutuan.
PUTRAJAYA:
Rosmah Mansor telah memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak permohonannya mencabar pelantikan mendiang Gopal Sri Ram sebagai pendakwa utama dalam kes rasuah projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion.

Isteri bekas perdana menteri Najib Razak itu memfailkan rayuan hari ini melalui Tetuan Akberdin & Co, mengemukakan beberapa persoalan undang-undang untuk dipertimbangkan oleh mahkamah.

Antaranya adalah sama ada Peguam Negara Idrus Harun berhak bawah undang-undang untuk mengeluarkan surat pelantikan bertarikh 21 Mei 2021 secara retrospektif bagi pelantikan Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya kanan mulai 15 Nov 2018, sedangkan secara fakta dan undang-undang Idrus hanya dilantik memegang jawatan peguam negara pada 2021.

Pada 22 Jun lepas, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Rosmah untuk kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi mencabar pelantikan Sri Ram sebagai ketua pendakwa dalam kesnya.

Pada 30 Ogos 2022, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tidak memberi kebenaran kepada Rosmah untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar pelantikan Sri Ram sebagai ketua pendakwa dalam kesnya.

Rosmah, 71, yang memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi pada 24 Jun 2022, menamakan peguam negara/pendakwa raya, kerajaan Malaysia dan Sri Ram sebagai responden.

Dalam permohonan semakan kehakiman itu, Rosmah memohon pengisytiharan bahawa pelantikan Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya kanan melalui tiga surat pelantikan masing-masing bertarikh 8 Julai 2020, 11 Mei dan 21 Mei 2021 adalah menyalahi undang-undang.

Selain itu, beliau memohon deklarasi bahawa keseluruhan prosiding pendakwaan dan perbicaraan penuh kes projek solar yang berlangsung sejak 15 Nov 2018 sehingga pembelaan menutup kesnya adalah tidak sah serta batal, dan beliau perlu dibebaskan daripada semua tuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Sebelum ini, Rosmah memohon untuk menggugurkan Sri Ram, namun ditolak oleh Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan yang mendengar perbicaraan kes rasuahnya. Rayuannya berhubung perkara itu turut ditolak oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Pada 1 Sept lepas, Mohamad Zaini memutuskan bahawa Rosmah bersalah atas tuduhan rasuah berkaitan projek solar hibrid dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta.

Beliau kemudian memfailkan rayuan terhadap sabitan serta hukuman terhadapnya dan Mahkamah Rayuan menetapkan empat hari, dari 11 hingga 14 Julai untuk mendengar rayuan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.