
Ketua Polis Iskandar Puteri, Rahmat Ariffin berkata anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersil daerah itu menerima laporan polis daripada mangsa berusia 40-an baru-baru ini.
“Siasatan mendapati mangsa berminat menyertai skim pelaburan saham itu melalui ‘group WhatsApp’ pada 4 Mei lalu. Mangsa mula melabur pada 12 Jun lalu.
“Selepas itu, mangsa diberitahu keuntungan pelaburannya bertambah sebanyak RM180,000. Mangsa mahu mengeluarkan semua keuntungan pelaburan tersebut, tetapi diarah membuat bayaran cukai RM24,000.90,” katanya menurut Sinar Harian.
Beliau berkata, selepas membuat bayaran, mangsa gagal berhubung dengan suspek melalui WhatsApp dan turut dikeluarkan daripada kumpulan WhatsApp itu.
“Mangsa menyedari ditipu pada 4 Julai lalu sebelum membuat laporan polis. Jumlah keseluruhan kerugian sebanyak RM87,400, termasuk nilai pelaburannya.”
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan menasihatkan orang ramai berhati-hati membuat pelaburan.
“Jangan mudah gelap mata dan tamak dengan tawaran dijanjikan dan mengambil mudah dalam meraih keuntungan lumayan.
“Rujuk ke balai polis berhampiran sekiranya berdepan sebarang kekeliruan atau dapatkan nasihat lanjut dari Bank Negara berhubung skim pelaburan.”