PRN: MIC juga tak tanding selepas teliti ‘situasi politik semasa’

PRN: MIC juga tak tanding selepas teliti ‘situasi politik semasa’

Sebelum ini MCA juga mengambil keputusan tidak bertanding PRN enam negeri.

Setiausaha Agung RT Rajasekaran berkata keputusan tidak bertanding dibuat semata-mata untuk melindungi kepentingan MIC. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
MIC mengikut jejak MCA apabila mengumumkan tidak bertanding pada PRN enam negeri.

Setiausaha Agung, RT Rajasekaran, berkata keputusan sebulat suara itu susulan perbincangan lebih empat jam Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC, diadakan 30 Jun lalu.

“Keputusan ini dicapai selepas perbincangan selama lebih kurang empat jam, setelah meneliti keadaan politik semasa dan mendengar pandangan setiap ahli CWC,” katanya dalam kenyataan.

Hari ini, Setiausaha Agung MCA, Chong Sin Woon, berkata parti membuat keputusan tersebut selepas mengambil kira “situasi politik semasa”.

Rajasekaran ketika mengulas lanjut berkata, keputusan MIC sudah dimaklumkan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Dalam pada itu, beliau turut mengulas laporan kenyataan Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hasan berhubung keputusan agihan kerusi sudah “dimuktamadkan”.

“Tetapi, fakta ini tidak dibincang mahupun dipersetujui oleh Majlis Tertinggi BN atau MIC,” katanya.

Beliau berkata, keputusan tidak bertanding dibuat semata-mata untuk melindungi kepentingan MIC.

Sebagaimana MCA, Rajasekaran berkata, MIC akan memberi lebih perhatian kepada proses membina struktur parti lebih mantap bagi menghadapi PRU16.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.