
PETALING JAYA: Seorang lelaki bertopeng bersenjatakan parang ditahan kerana disyaki menyamun serta mencederakan seorang wanita di rumahnya di Felda Air Tawar 4, Kota Tinggi, Ahad lalu.
Ketua Polis Kota Tinggi Hussin Zamora berkata warga tempatan berusia 30-an itu ditahan di sebuah rumah di penempatan yang sama.
“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif methamphetamine dan mempunyai dua rekod kes dadah serta jenayah,” katanya menurut Harian Metro.
Beliau berkata, polis menemui rantai tangan emas disamun suspek, selain merampas parang dan pakaian suspek.
Katanya, suspek direman tujuh hari mulai Isnin untuk siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.