
Mohd Shazlan Rusman, 34, yang berkhidmat di Pejabat Pos Simpang Ampat, Pulau Pinang menerima sijil dan wang tunai RM2,000 disampaikan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, semalam.
Bertugas sejak 2008, Shazlan berkata, beliau sering menitikberatkan soal kejujuran dan amanah walaupun ada-kalanya dirinya “diuji dengan kemewahan” seperti penemuan dompet berisi wang yang banyak pada 24 Mac 2021.
Menceritakan semula detik itu, bapa kepada seorang cahaya mata berkenaan, berkata beliau menemui dompet yang turut mengandungi dokumen pengenalan diri berhampiran sebuah kilang di Juru, Pulau Pinang.
Memahami kegusaran pemilik dompet terbabit, Shazlan terus berusaha mencari pemiliknya dengan membuat hebahan penemuan berkenaan di Facebook dan berhasil apabila dihubungi seorang lelaki yang mengakui tercicirnya.
“Pemilik itu pun memang tidak sangka boleh jumpa balik dompet dengan cepat, pada hari sama,” katanya.
Mengikut laporan pada 2021, pemiliknya dikenali Mohd Zulhairi Sabarudin dari Teluk Kumbar yang tercicir dompetnya itu ketika mahu mengisi petrol di sebuah stesen minyak.
Shazlan berharap kejadian itu menjadi teladan dan contoh kepada masyarakat supaya jujur dalam kehidupan untuk manfaat ramai.
“Jujur dalam pekerjaan kalau jumpa barang ke atau duit orang yang tidak kiralah nilai macam mana pun, kalau boleh bagi balik, bagi balik kepada orang itu,” katanya.