Chow arah pelan induk pembangunan P Pinang dirangka semula

Chow arah pelan induk pembangunan P Pinang dirangka semula

MBPP diarahkan untuk mengolah semula pelan yang dibentangkan tahun lepas itu selepas ia didapati mempunyai banyak kelemahan dan kesilapan.

Pelan tempatan Pulau Pinang 2030 menentukan kepadatan pembangunan akan datang di negeri itu serta jenis projek yang dibenarkan di setiap kawasan. (Gambar Facebook)
GEORGE TOWN:
Pelan induk pembangunan Pulau Pinang pertama, yang didapati penuh dengan kesilapan, akan dirangka semula, menurut Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Chow berkata, beliau telah mengarahkan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) untuk mengolah semula pelan itu dan beliau menjangkakan ia akan siap dalam masa “satu hingga dua tahun” akan datang.

“Kami telah mengarahkan MBPP untuk menggugurkan pelan yang dibentangkan tahun lepas, selepas didapati (ia) mempunyai banyak kelemahan dan kesilapan,” katanya kepada pemberita pada sidang media bersama pengurusan United Hokkien Cemeteries.

“Satu pelan tempatan baharu sedang dibangunkan dan akan mengambil kira bantahan.”

Pelan yang secara rasminya dikenali sebagai pelan tempatan Pulau Pinang 2030 itu menentukan kepadatan pembangunan akan datang dan menentukan jenis projek yang dibenarkan di setiap kawasan sepanjang sedekad akan datang.

Kumpulan masyarakat sivil, yang menyemak pelan itu, mendakwa ia penuh kesilapan dan menetapkan terlalu banyak kawasan untuk kegunaan komersial.

Mereka juga khuatir tentang kepadatan tinggi dibenarkan untuk kawasan tertentu, yang menentukan bilangan unit patut dibina di sebidang tanah.

Seorang aktivis juga mendakwa draf itu, yang dipamerkan kepada umum, tidak mendapat penyertaan orang ramai lebih awal, bertentangan dengan undang-undang perancangan bandar persekutuan.

Tambahnya, draf rancangan itu mengandungi banyak perkara yang tidak konsisten, percanggahan dan maklumat yang hilang; contohnya, peta menggambarkan bangunan sekolah di kawasan laut.

Kumpulan-kumpulan itu seterusnya menegaskan bahawa tidak cukup usaha dilakukan untuk mengekalkan latar langit dan pemandangan gunung yang tidak terhalang dengan mengehadkan pembangunan di kawasan tertentu, seperti pemandangan indah banjaran Bukit Pulau Pinang di sepanjang laluan dari Jalan Dato Keramat ke Air Itam.

Inventori bangunan warisan juga tidak termasuk dalam pelan itu, dengan hampir separuh daripada 3,977 struktur di kawasan George Town “hilang”.

Mercu tanda terkenal, seperti Penang Free School, Rex Cinema, College-General Catholic Seminary, Masjid Maqbul dan Wadda Gurdwara Sahib, turut tiada dalam senarai warisan.

Pelan itu juga mengandungi kesilapan yang ketara, termasuk Menara Jam Peringatan Victoria yang silap dilabel sebagai “Menara Jam Queen Elizabeth” dan nama Dewan Mahatma Gandhi yang salah dieja sebagai “Dewah Mahatma Ghani”.

Keputusan untuk mengezonkan semula Penang Turf Club untuk pembangunan bercampur turut dipertikaikan, berpotensi membawa kepada pembinaan projek sebesar tujuh bangunan Komtar.

Sebelum ini, kelab itu menjadi tapak yang dicadangkan untuk projek Pusat Bandar Global Pulau Pinang, yang ditentang hebat oleh parti pembangkang negeri ketika itu, DAP, pada 2007.

Projek itu dibatalkan selepas Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan negeri pada tahun berikutnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.