Penunggang motosikal maut bertembung pacuan empat roda

Penunggang motosikal maut bertembung pacuan empat roda

Polis berkata, motosikal ditunggang mangsa tidak sempat mengelak lalu melanggar sisi kiri bahagian penumpang hadapan pacuan empat roda itu.

Ujian air kencing pemandu pacuan empat roda itu didapati positif methamphetamine dan suspek direman dua hari mulai semalam. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Seorang penunggang motosikal maut selepas bertembung pacuan empat roda di KM1.7 Jalan Bentong-Karak, Pahang.

Dalam kejadian kira-kira 11.45 malam itu Ahad lalu, Ahmad Azree Abdul Razak, 39, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.

Ketua Polis Bentong Zaiham Mohd Kahar berkata nahas dipercayai berlaku semasa pacuan empat roda yang dipandu lelaki berusia 43 tahun itu memasuki simpang Taman Ketari.

“Motosikal ditunggang mangsa dari arah depan tidak sempat mengelak lalu melanggar sisi kiri penumpang hadapan pacuan empat roda tersebut.

“Penunggang motosikal maut di tempat kejadian, manakala pemandu pacuan empat roda itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Ujian air kencing ke atas pemandu pacuan empat roda itu didapati positif methamphetamine,” katanya menurut Sinar Harian.

Beliau berkata, suspek direman dua hari mulai semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu memandu kenderaan di bawah pengaruh dadah serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap pemandu di bawah pengaruh dadah atau alkohol,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.