
Bekas timbalan ketua menteri Sabah dan Ahli Parlimen Kalabakan itu berusia 80 tahun.
Ghapur dilantik timbalan ketua menteri Sabah dari 1995 hingga 1997 dan merupakan Ahli Parlimen Kalabakan dari 2004 hingga 2018.
Nizam Abu Bakar Titingan, pembantu menteri kepada ketua menteri mengesahkan kematian pemimpin Umno itu kepada Berita Harian.
Katanya, beliau mendapat tahu mengenai kematian Ghapur melalui WhatsApp daripada anaknya, Salleh.
Bekas ketua menteri Sabah, Salleh Said Keruak turut mengucapkan takziah kepada keluarga Ghapur menerusi media sosial.
Bekas ketua Wanita Umno Kalabakan, Hamisah Samat, menyifatkan Ghapur “pemimpin dan patriot yang banyak menyumbang” kepada negara.
Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Likas, Kota Kinabalu hari ini.
Anak sulung Allahyarham, Noraini Ghapur berkata bapanya menerima rawatan di Hospital Gleneagles, Kota Kinabalu, sejak dua bulan lalu dan menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarga tengah malam tadi.
Beliau berkata, solat jenazah akan diadakan di kediaman mereka di Likas dan akan dibawa ke Masjid Jamek Kampung Likas, sebelum dikebumikan.
“Mohon doakan semoga roh Allahyarham bapa kami ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman,” katanya menurut Berita Harian.