
Dalam kenyataan balas terhadap Ketua Penerangan Umno Bukit Gelugor Huzaidi Hussin, yang meminta bekas perdana menteri itu berhenti memainkan sentimen perkauman, Mahathir berkata, beliau hanya menyuarakan peruntukan yang terkandung dalam Perlembagaan.
“Apakah mempertahankan Perlembagaan menyalahi undang-undang? Sebaliknya (yang) bertentangan perlembagaan ialah mempromosi negara berbilang bangsa,” katanya dalam kenyataan.
Beliau turut mempersoalkan pendirian kerajaan perpaduan ketika ini yang melaungkan Malaysia sebagai negara berbilang kaum.
“Apakah kerajaan sekarang menolak ‘the rule of law’ (kedaulatan undang-undang), termasuk Perlembagaan yang tidak pernah sebut Malaysia sebagai negara berbilang kaum.
“Sebaliknya Perlembagaan menekankan kemelayuan Malaysia,” katanya.
Pada 16 Jun, Huzaidi dilaporkan meminta Mahathir berhenti memainkan sentimen melibatkan perkauman, dan mendakwa bekas Ahli Parlimen Langkawi itu mempergunakan orang Melayu demi kepuasan sendiri.
Kenyataan itu menyusul komen Mahathir sehari sebelum itu bahawa, pengaruh DAP dalam kerajaan perpaduan amat kuat, walaupun parti itu hanya mempunyai empat wakil dalam Jemaah Menteri.