
Ketua Pegawai Eksekutif Prolintas, Azlan Abdullah, berkata inisiatif itu satu daripada aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) berterusan syarikat, di bawah teras komunitinya, bertujuan meringankan beban mereka yang memerlukan pada musim perayaan ini.
“Prolintas sentiasa mengambil berat tentang kebajikan masyarakat. Sempena Aidiladha ini kita berkongsi keberkatan dengan mengagihkan daging korban kepada keluarga yang kurang bernasib baik, kerana dalam Islam kita digalakkan melakukannya.
“Kita bekerjasama dengan persatuan penduduk untuk mengenal pasti keluarga yang benar-benar memerlukan,” kata Azlan.

Tambahnya, pengagihan daging korban dilakukan di pelbagai peringkat sepanjang Aidiladha dan Tasyrik, termasuk mendekati 100 keluarga di Rumah Pangsa PKNS di Kampung Baru berhampiran Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur; PPR Taman Bukit Subang berhampiran Lebuh Raya Koridor Guthrie; Rumah Pangsa Taman Sri Lembayung di Seksyen 25, Shah Alam berhampiran Lebuh Raya Kemuning-Shah Alam; Kampung Sungai Ramal Dalam berhampiran Lebuh Raya Kajang SILK; Gugusan Semarak di Seksyen 4, Kota Damansara berhampiran Lebuh Raya Bertingkat Damansara-Shah Alam; dan PPR Desa Tun Razak berhampiran Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang.
Proses penyembelihan dan pengendalian daging korban itu hasil kerjasama yang melibatkan jemaah masjid dan surau tempatan, serta wakil dari setiap anak syarikat Prolintas.
Selepas daging disediakan dan dibungkus, ia diagihkan kepada keluarga berkenaan pada hari yang sama.