Pasangan maut makan ikan buntal, kertas siasatan diserah TPR

Pasangan maut makan ikan buntal, kertas siasatan diserah TPR

Exco Kesihatan Johor, Ling Tian Soon berkata, kertas siasatan itu diserah kepada timbalan pendakwa raya pada hujung Mei lalu.

Pada Mac lalu, pasangan suami isteri warga emas di Kluang meninggal dunia ketika di rawat di hospital selepas mengalami keracunan ikan buntal, yang bekalannya diperoleh daripada penjual secara dalam talian. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kertas siasatan berhubung kematian pasangan warga emas yang keracunan akibat memakan hidangan ikan buntal di Kluang, Johor pada Mac lalu sudah diserahkan kepada pejabat pendakwa raya, untuk tindakan lanjut.

Exco Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon berkata, kertas siasatan itu dihantar Jabatan Kesihatan Negeri Johor kepada pendakwa raya pada hujung Mei lalu tetapi sehingga kini tiada sebarang maklum balas daripada pihak berkenaan.

“Saya dimaklumkan siasatan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kluang telah selesai dan laporan telah dihantar ke Jabatan Kesihatan Negeri Johor. Seterusnya, jabatan kesihatan negeri menghantar laporan terbabit kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya.

“Namun, belum ada sebarang maklum balas daripada pihak pendakwaan. Saya harap tindakan undang-undang dapat diteruskan secepat mungkin,” katanya menurut Sinar Harian.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melawat di Klinik Kesihatan Ayer Hitam, di Johor.

Pada Mac lalu, suami isteri warga emas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom (HEBHK), Kluang, selepas mengalami keracunan ikan buntal, yang bekalannya diperoleh daripada penjual secara dalam talian melalui Facebook.

Wanita berusia 83 tahun itu meninggal dunia di hospital berkenaan pada 25 Mac manakala suaminya, yang berusia 84 tahun meninggal dunia di hospital sama beberapa hari kemudian.

Keluarga pasangan warga emas itu sebelum ini melahirkan rasa kesal apabila mendakwa peniaga ikan berkenaan masih bebas berniaga.

Anak pasangan itu, Ng Ai Lee, 51, menyifatkan tidak adil buat keluarga mereka yang masih meratapi kehilangan Lim Siew Guan, 83, dan bapa Eng Kuai Sin @ Ng Chuan Sing, 84, sedangkan pelaku didakwa masih bebas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.