
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Zulkapli Mohamad berkata proses itu bagi membolehkan tindakan segera diambil.
“Kita akan semak dan mendapatkan maklumat lengkap supaya tindakan segera diambil,” katanya menurut Berita Harian.
Semalam, FMT melaporkan mengenai setiausaha akhbar beberapa menteri mengadu belum dibayar gaji, walaupun mereka bertugas sejak beberapa bulan lalu.
Tiga setiausaha akhbar yang enggan dinamakan memberitahu, mereka tidak dapat meneruskan tugas tanpa gaji dan mungkin akan berhenti.
Sementara itu, menurut satu sumber kepada Berita Harian, isu mengenai setiausaha akhbar menteri tidak menerima bayaran gaji tidak pernah dibangkitkan oleh mana-mana pegawai terbabit dalam mesyuarat terbaharu mereka, kira-kira dua minggu lalu.
Dalam mesyuarat berkenaan, dakwanya, hanya isu berkaitan pembayaran gaji rendah sahaja dibangkitkan ketika itu.