
Amrullah Fitri Afendi, 10, ditemui 8.15 pagi dalam jarak 900 meter dari pusat kawalan tempat kejadian (PKTK) manakala bapa saudaranya, Wan Muhamad Najmi Wan Taib, 30, pula di bawah jambatan Sultan Yahya Petra, tidak jauh dari mangsa pertama dijumpai.
Ketua Polis Tumpat, Amran Dolah, berkata jasad kedua-dua mangsa ditemukan dalam keadaan terapung sebelum diselamatkan pihak berkuasa.
“Mayat kanak-kanak lelaki ditemui di tebing sungai manakala bapa saudaranya pula di tengah sungai iaitu bawah jambatan dengan jarak kira-kira 1.1 kilometer dari PKTK.
“Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Tumpat untuk proses bedah siasat dan misi mencari serta menyelamat ditamatkan,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Sementara itu, bapa mangsa Amrullah, Afendi Ismail, 43, meluahkan rasa syukur atas penemuan anak lelaki dan adik iparnya itu selepas tiga hari hilang di sungai.
Afendi, 43, berkata, sejak kehilangan kedua-dua ahli keluarganya itu, solat hajat tidak henti dibuat sama ada membabitkan keluarga, penduduk kampung atau sekolah anaknya itu.
Tambahnya, dia dan isteri, Wan Norhasliza Wan Taib, 41, reda dengan kehilangan satu-satunya anak lelaki mereka dan jenazah akan disemadikan di kampung mereka iaitu Tanah Perkuburan Islam Kampung Patek, Kadok, Kota Bharu.
“Laungan azan juga sentiasa dibuat di tebing sungai dengan harapan Abang Ngah (Amrullah) dan Najmi ditemukan walau dalam apa jua keadaan.
“Doa kami akhirnya termakbul apabila pagi ini mereka berdua ditemui selepas kelihatan terapung di permukaan sungai dalam jarak yang tidak jauh antara satu sama lain,” ujarnya
“Kami reda menerima takdir ini, walau ditemukan dalam keadaan tidak bernyawa, sekurang-kurangnya mereka berdua ada pusara,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira 6.45 petang kelmarin, enjin bot yang dinaiki sepasang suami isteri, Nor Awadah Sulong, 30, dan Wan Muhamad Najmi, anak perempuan mereka, Wan Nur Ameena Wan Muhamad Najmi, 14 bulan serta anak saudara, Amrullah Fitri tiba-tiba mati menyebabkan tiga daripada mereka terpelanting dan terjatuh ke dalam sungai.
Nor Awadah ditemui lemas manakala suami dan anak saudaranya dilaporkan hilang dan anak perempuannya pula selamat.