
Syed Saddiq berkata Ketua Pemuda PKR Adam Adli perlu jelaskan perkara itu bukannya “mengalih tiang gol” apabila mempersoalkan sokongan Muda kepada gabungan itu dan kerajaan perpaduan.
“Daripada berpolitik, adalah lebih baik untuk memfokuskan rakyat dan membawa landskap politik baharu untuk kebaikan rakyat.
“Rakyat mahu melihat satu bentuk politik baharu dan inilah yang Muda mahu tawarkan (dengan bertanding solo dalam PRN),” katanya dalam satu sidang media.
Pada Rabu lalu, Adam meminta Muda menjelaskan pendirian parti itu sama ada masih menyokong kerajaan perpaduan selepas mengambil keputusan untuk bertanding solo dalam PRN tidak lama lagi.
Adam berkata keputusan Muda bertanding solo menunjukkan parti itu hilang keyakinan kepada kemampuan PH untuk mentadbir negeri yang dikuasai gabungan itu.
Bagaimanapun, Syed Saddiq berkata, Adam sepatutnya menyatakan pendirian terkini PKR mengenai janji reformasi, skandal projek kapal tempur pesisir (LCS) dan juga pengisytiharan aset oleh Jemaah Menteri, lebih-lebih lagi PKR yang paling lantang menyuarakan isu itu sebelum PRU15, November lalu.
Sementara itu, Syed Saddiq berkata beliau yakin tiada halangan bagi Malaysia untuk mempunyai perdana menteri wanita pada masa hadapan.
Katanya, selagi mereka mempunyai kelayakan, wanita tidak seharusnya dihalang daripada menerajui kempimpinan hanya kerana jantina mereka.
“Bagi Muda, sekiranya ada wanita yang lebih baik daripada saya, beliau ada hak untuk mengambil alih jawatan presiden kerana Muda meraikan kepelbagaian,” katanya.