PRN: DAP tampil beberapa muka baharu di N Sembilan

PRN: DAP tampil beberapa muka baharu di N Sembilan

Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook berkata beberapa penyandang kerusi DUN akan bersara bagi memberi laluan kepada calon baharu.

Loke Siew Fook yang juga pengerusi DAP Negeri Sembilan berkata senarai penuh calon parti itu dapat diselesaikan dalam tempoh dua minggu lagi.
SEREMBAN:
DAP akan menampilkan beberapa muka baharu sebagai calon parti itu di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan pada PRN tidak lama lagi.

Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook, berkata senarai penuh calon dapat diselesaikan dalam tempoh dua minggu ini.

DAP negeri memiliki 11 kerusi DUN di Negeri Sembilan.

“Bukan semua penyandang akan dicalonkan semula kerana ada yang bersara bagi laluan kepada calon baharu,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa negeri DAP.

Bagaimanapun, Loke, yang juga pengerusi DAP negeri, tidak mengesahkan sama ada beliau akan mempertahankan kerusi DUN Chennah pada PRN nanti.

Dalam pada itu, katanya, DAP negeri ini juga bersedia bersama parti komponen lain untuk mempertahankan 20 kerusi DUN dimenangi Pakatan Harapan pada PRU14 dan membantu kempen calon dari parti komponen lain.

Loke berkata parti itu menawarkan sokongan dan akan berkempen untuk calon BN.

“Secara peribadi, saya menyampaikan kepada Pengerusi BN negeri, Mohamad Hasan (Tok Mat), saya akan turun berkempen di Rantau untuk Tok Mat,” katanya.

Mohamad merupakan ADUN Rantau selama empat penggal.

DUN Negeri Sembilan yang mempunyai 36 kerusi, secara rasmi dibubarkan hari ini bagi memberi laluan kepada PRN.

Pada PRU14, PH dipimpin Menteri Besar Aminuddin Harun menguasai 20 kerusi iaitu DAP dengan 11 kerusi, PKR (enam) dan Amanah (tiga).

BN pula memenangi 16 kerusi dengan 15 daripada dimenangi Umno manakala MIC, satu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.