
Menteri Pengangkutan Sarawak, Lee Kim Shin, berkata perkara ini dipersetujui semasa pertemuan beliau dengan Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook di Putrajaya, pada Jumaat.
Lee berkata, tujuan utama pertemuan itu adalah untuk membincangkan mengenai penubuhan Sarawak Airline menerusi pengambilalihan MASWings.
“Delegasi Sarawak, yang terdiri daripada para pegawai mewakili kerajaan negeri Sarawak akan menyertai secara aktif dalam pasukan petugas khas itu.
“Juga diputuskan bahawa satu memorandum persefahaman (MoU) akan dimeterai untuk memulakan perbincangan seterusnya serta memudahkan pengambilalihan tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Pada 15 Jun, Premier Sarawak Abang Johari Openg, berkata Sarawak bersetuju secara prinsipnya untuk mengambil alih MASWings, anak syarikat milik penuh Malaysia Airlines Bhd (MAB), yang akan dijenamakan semula sebagai sebuah syarikat penerbangan butik (perkhidmatan penerbangan unik dan berkualiti tinggi) oleh kerajaan negeri.
Abang Johari berkata, MASWings yang ketika ini hanya beroperasi di kawasan pedalaman Borneo, akan diberi nafas baru dengan penambahan destinasi penerbangan.
Pada 17 April lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersetuju secara prinsipnya dengan cadangan kerajaan Sarawak untuk menubuhkan sebuah syarikat penerbangan butik.
Anwar berharap dengan penubuhan syarikat penerbangan itu akan dapat menurunkan harga tambang terutamanya antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak.