
K Thanabalasingam yang dilantik panglima pertama TLDM pada 1967 berkata, beberapa kerajaan yang memerintah negara sejak beberapa tahun kebelakangan ini mengabaikan keperluan pasukan pertahanan dan keselamatan terlalu lama.
Beliau berkata, pemerolehan aset ketenteraan dan keselamatan memerlukan rancangan pembangunan betul, masa dan bajet mencukupi serta tenaga kerja terlatih untuk mengendalikan peralatan dan perisian semakin canggih.
“Sebenarnya, kerajaan terdahulu mengabaikan pasukan pertahanan dan keselamatan terlalu lama melalui politiking tidak perlu – banyak menjejaskan keupayaan kita dalam melindungi perairan dan ruang udara kita.
“Tiada usaha bersepadu untuk menyusul rancangan pembangunan, dengan banyak program perolehan, seperti pembinaan kapal tentera laut, yang menimbulkan masalah sejak tiga dekad lalu. Kita perlu segera menghalang keadaan bertambah teruk.”
Thanabalasingam yang kini berusia 87 tahun menggesa agensi berkaitan mengamalkan akauntabiliti dengan tidak memberikan kontrak perolehan kepada pihak tidak layak.
Beliau turut menyentuh amalan membayar “kontraktor (tempatan) tidak cekap dan tidak berkesan” terlebih dahulu sebelum memulakan tugas mereka, dengan kerajaan dan pengguna akhir menderita apabila kontraktor gagal melaksanakannya.
Beliau memetik pemberian kontrak untuk kapal peronda generasi baharu pada 1990-an, dan kelewatan lanjut dalam pembinaan kapal misi pesisir (LMS) dan kapal tempur pesisir (LCS) sebagai contoh.
Dari masa ke masa, katanya, rakyat mempunyai tabiat melupakan kekurangan dan kegagalan lampau.
“Kita melakukan kesilapan sama berulang kali dan menerima kesan buruk dengan mengorbankan pertahanan dan keselamatan negara.
“Sepatutnya ada semak dan imbang sewajarnya untuk menghalang ketirisan sangat kritikal. Ia meninggalkan jurang perbezaan mendalam dan kerajaan perlu bangkit segera.”
Beliau berkata, hampir tiada skandal berlaku ketika beliau menerajui TLDM kerana mereka sentiasa mematuhi peraturan.
Thanabalasingam berkhidmat ketika dua kali darurat (1948-1960 dan 1968-1989) serta Konfrontasi dengan Indonesia (1963-1966).
Beliau menyertai TLDM di Singapura pada 1 Mei 1955 dan antara sembilan kadet perintis dihantar ke Kolej Tentera Laut Diraja Britannia di Dartmouth, England pada Disember tahun sama.
Sehingga kini, beliau kekal sebagai panglima TLDM paling muda, paling lama berkhidmat dan satu-satunya panglima bukan Melayu.