Patung seks berupa kanak-kanak dijual, Shopee ambil tindakan

Patung seks berupa kanak-kanak dijual, Shopee ambil tindakan

Patung seks itu dijual pada harga mencecah RM1,500 di platform e-dagang Shopee.

Pengguna media sosial mengecam penjualan patung seks berupa kanak-kanak, dengan harga mencecah RM1,500, di Shopee.
PETALING JAYA:
Shopee berkata, pihaknya akan mengambil tindakan susulan laporan bahawa patung seks berupa kanak-kanak dijual di platform e-dagangnya.

“Terima kasih atas laporan anda. Kami telah memaklumkan kepada pasukan berkaitan untuk tindakan selanjutnya,” katanya di Twitter.

Shopee turut menasihatkan orang ramai untuk memfailkan aduan berhubung penjual atau produk yang disenaraikan di platform itu yang tidak mematuhi polisinya.

Terdahulu, pengguna media sosial mengecam penjualan patung seks berupa kanak-kanak di Shopee.

Seorang pengguna Twitter memberitahu bahawa rakannya terjumpa patung seks itu dijual ketika melayari platform itu.

“Dia terjumpa patung seks (dijual di Shopee), itu tak apalah. Tetapi yang salahnya, patung-patung ini menyerupai kanak-kanak,” katanya.

Warganet itu turut berkongsi pautan Shopee yang menjual patung-patung itu pada harga antara RM1,400 hingga RM1,500 setiap satu.

Ulasan produk yang ditinggalkan oleh pembeli antaranya menyatakan bahawa “kualiti produk seperti yang diiklankan” dan ciri-ciri patung itu “sangat teliti pada setiap bahagian badannya”.

Berdasarkan semakan FMT, penjual patung-patung itu, yang menggunakan nama “sexymarina”, telah menurunkan iklan menjual produk itu di Shopee.

Seorang pengguna Twitter berkata, akaun penjual tersebut mesti dilaporkan kepada Shopee, sambil menambah penjualan patung tersebut “menggalakkan perogol kanak-kanak”.

Sementara itu, seorang lagi pengguna Twitter mahu laporan polis dibuat terhadap penjual tersebut, supaya “kerajaan dapat memburu kesemuanya, penjual dan pembeli”.

Jurucakap Shopee berkata, pihaknya telah menurunkan penyenaraian produk itu serta-merta dan mengenakan larangan kekal terhadap akaun penjual terbabit.

“Kandungan menjelikkan seperti ini tiada tempat di platform kami, dan kami sedang menjalankan semakan di seluruh laman (e-dagang) untuk memastikan pengguna tidak terdedah dengan penyenaraian (produk) seperti ini.

“Kami juga sedang menyiasat penjual-penjual terbabit,” kata jurucakap itu dalam kenyataan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.