
Ketua Polis Kemaman, Hanyan Ramlan, berkata polis pada mulanya mengesan sebuah kereta jenis Proton Saga berwarna putih yang dipandu melawan arus di Taman Banggol Indah dan cuba melarikan diri ketika cuba ditahan.
Katanya, ketika kejadian beberapa anggota polis dari IPD kemaman sedang menjalankan Op Lancar/Op Samseng Jalanan di sekitar kawasan itu pada 4 petang.
“Polis mengesan suspek yang memandu datang dari arah bertentangan secara melawan arus ketika melalui Jalan Bawah Jambatan Geliga (Waterfront).
“Anggota bertugas cuba menahan kenderaan itu namun pemandunya tidak mengendahkan arahan supaya berhenti dan terus memecut laju untuk melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan, menurut Sinar Harian.
Hanyan berkata, polis mengejar kereta itu dan mengarahkan pemandunya berhenti sebanyak tiga kali namun tidak diendahkan.
“Selepas mengejar sejauh 10km, kereta itu kemudiannya berhenti di sebuah kedai dobi layan diri dan cuba melarikan diri tetapi berjaya ditahan.
“Remaja itu bersama empat rakannya berusia lingkungan 13 hingga 16 tahun berjaya ditahan dan dibawa ke IPD Kemaman untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.