
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said, berkata ia termasuk “mematikan” sama sekali tuntutan seumpama itu, serta mendapatkan pampasan bagi kos perundangan.
Azalina berkata, secara teknikalnya, kumpulan itu boleh melakukan tuntutan di mana-mana 150 negara yang menandatangani Konvensyen Timbang Tara New York.
Bagaimanapun, Azalina berkata, “forum shopping” yang dibuat kumpulan berkenaan hanya dapat diambil menerusi sokongan kewangan disediakan oleh pembiaya litigasi Therium Group.
Justeru, beliau berkata, Jabatan Peguam Negara akan menghubungi Therium bagi memberi perincian.
Strateginya adalah bagi menghentikan Therium mendanai tuntutan (kononnya dari waris Sulu).
Azalina berkata demikian pada sidang media.
Pada Selasa, Mahkamah Rayuan The Hague menolak permohonan lapan individu yang mendakwa waris Kesultanan Sulu, menguatkuasakan award timbang tara USD15 bilion terhadap kerajaan Malaysia.
Awal bulan ini, Mahkamah Rayuan Paris membatalkan award USD15 bilion diputuskan penimbang tara Sepanyol, Gonzalo Stampa.
Tuntutan waris Kesultanan Sulu bermula apabila kumpulan itu memohon timbang tara di Sepanyol susulan kerajaan Malaysia membatalkan bayaran tahunan selepas pencerobohan Lahad Datu.
Dalam pada itu, Azalina turut mengulangi komitmen Putrajaya menuntut kos.
“Kita mahu diberi pampasan bagi setiap perbelanjaan dan akan berterusan akan berbelanja (berkait tuntutan kes).”
Katanya, selepas keputusan Mahkamah Paris dan The Hague memerintahkan bayaran kos kepada Malaysia, peguam mewakili penuntut ada menyatakan, “mereka mahu membayar”.
Azalina menyoal: “Siapa ‘mereka’? Kita tidak tahu dan kita masih menunggu siapa dimaksudkan.”