Kepentingan lain tak boleh ganggu tugas keselamatan di KLIA, tegas Cuepacs

Kepentingan lain tak boleh ganggu tugas keselamatan di KLIA, tegas Cuepacs

Cuepacs mahukan siasatan terperinci, sambil mengingatkan bahawa tindakan penjawat awam berlandaskan undang-undang.

Portal Bebas News melaporkan seorang menteri membuat kecoh apabila masuk ke balai ketibaan untuk membantu seorang warga China yang ditahan
PETALING JAYA:
Kesatuan perkhidmatan awam mahu kerajaan menyiasat secara terperinci kekecohan didakwa membabitkan seorang menteri yang cuba membantu seorang warga China ditahan di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) membuat gesaan itu kerana ia melibatkan penjawat awam menjalankan tugas selaras protokol keselamatan.

Presiden Adnan Mat tidak mahu kepentingan lain mengganggu tugas penjawat awam menjaga kedaulatan negara.

“Semua pihak termasuk pemimpin negara sewajarnya memberi kepercayaan penuh kepada pihak berkuasa yang melaksanakan tugas,” katanya dalam kenyataan.

Cuepacs berpendirian sekiranya berlaku sebarang salah faham dalam penahanan pelancong terbabit, ia wajar ditangani dengan mendapatkan penjelasan daripada pihak berkuasa dan bantuan diberi “mengikut prosedur”.

“Setiap tindakan yang dilakukan oleh penjawat awam sudah pasti berlandaskan undang-undang sedia ada,” katanya.

Cuepacs mengingatkan tiada individu lebih besar daripada undang-undang. “Jika berlakunya pelanggaran undang-undang dalam hal ini, tindakan tegas wajar diambil oleh kerajaan bagi menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang.”

Terdahulu, portal Bebas News melaporkan seorang menteri membuat kecoh apabila masuk ke balai ketibaan untuk membantu seorang warga China yang ditahan daripada masuk ke negara ini.

Menteri itu juga dilaporkan memarahi polis bantuan KLIA dan pegawai imigresen ketika beliau cuba membantu wanita berkenaan.

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook hari ini berkata pihak berkuasa sedang menyiasat kejadian itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.