Hilang kerja ketika Covid-19, jurutera gagal saman AirAsia

Hilang kerja ketika Covid-19, jurutera gagal saman AirAsia

Mahkamah Perusahaan memutuskan pemberhentian kerja jurutera pesawat itu adalah munasabah dan mengikut prosedur.

Mahkamah Perusahaan memutuskan tindakan AirAsia menamatkan perkhidmatan jurutera pesawat Neoh Wee Ming sebagai boleh diterima demi kelangsungan perniagaan syarikat. (Gambar Reuters)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Perusahaan memutuskan pemberhentian kerja terhadap seorang jurutera pesawat berlesen oleh sebuah syarikat penerbangan tambang murah semasa pandemik Covid-19 tiga tahun lalu adalah munasabah dan mengikut prosedur.

Pengerusinya Andersen Ong Wai Leong berkata syarikat terutama industri penerbangan terdedah dengan peristiwa luar jangka seperti keganasan, bencana alam, dan pandemik yang boleh memberi kesan drastik kepada operasi dan perniagaan mereka.

“Pandemik Covid-19 memberi kesan buruk kepada perniagaan syarikat akibat sekatan perjalanan dan penurunan kedatangan pelancong,” katanya ketika menolak tuntutan pemberhentian kerja tidak adil oleh Neoh Wee Ming terhadap AirAsia Bhd.

Ong berkata syarikat penerbangan terpaksa menghentikan operasi pesawat mereka ketika perintah kawalan pergerakan dikuatkuasakan di seluruh dunia.

Beliau berkata terdapat keperluan yang nyata dan mendesak bagi syarikat untuk bertindak balas secara pantas terhadap krisis Covid-19 dengan mengawal kos operasi yang tinggi.

Ong berkata beliau tidak menemui bukti ‘mala fide’ atau ketidaksesuaian dalam amalan pemberhentian kerja oleh syarikat penerbangan tersebut.

Beliau berkata bukti menunjukkan bahawa AirAsia menerapkan kriteria pemilihan “sesuai terbaik” secara objektif kepada semua pekerja, termasuk Neoh.

“Mahkamah mendapati bahawa syarikat berjaya membuktikan kesnya dengan imbangan kemungkinan bahawa berlaku lebihan tenaga kerja pada masa itu dan tindakan pemberhentian kerja dilakukan dengan niat yang baik,” katanya diumumkan pada 22 Jun.

Ong berkata beliau juga menyemak dokumen kewangan yang dikemukakan dan menerima bukti syarikat mengenai kesukaran kewangan yang dihadapi, terutamanya pada tahun 2019 dan 2020.

Justeru, beliau berkata terdapat keperluan yang nyata untuk penyesuaian perniagaan dan penjajaran semula syarikat adalah wajar pada masa itu.

Tambahnya, tugas Neoh akan berkurangan atau menjadi lebihan tenaga kerja apabila kapal terbang tidak beroperasi kerana keperluan penyelenggaraan yang lebih sedikit.

Neoh menerima bayaran hampir RM42,000 sebagai ganti tiga bulan notis pemberhentian kerja.

Kerana tidak berpuas hati dengan penamatan perkhidmatannya pada 14 Jun 2020 itu, Neoh mengemukakan representasi kepada Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia.

Pertikaian mengenai pemberhentian kerja itu akhirnya dirujuk kepada Mahkamah Perusahaan untuk penyelesaian.

Arun Kumar mewakili Neoh manakala Sebastian Tay Hanxin dan Rebecca Sonali Alfred mewakili AirAsia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.