Didik masyarakat mengenai undang-undang kecil, PBT diberitahu

Didik masyarakat mengenai undang-undang kecil, PBT diberitahu

Peguam berkata pihak berkuasa tempatan mesti bersungguh untuk mendidik orang awam mengenai undang-undang kecil.

Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) mengeluarkan kompaun terhadap seorang pemilik perniagaan wanita berusia 35 tahun kerana memakai pakaian “tidak sopan”. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang peguam menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memberi tumpuan kepada mendidik orang awam mengenai undang-undang kecil mereka sebelum mengambil sebarang tindakan penguatkuasaan.

Mustaqeem Aziz mengulas tindakan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) yang mengeluarkan notis kompaun terhadap seorang wanita bukan Islam di Kelantan kerana memakai seluar pendek di kedainya.

Katanya, MPKB mesti terlebih dahulu memastikan undang-undang kecil mereka diketahui oleh orang awam sebelum meneruskan tindakan penguatkuasaan.

“Mereka yang disaman mempunyai hak untuk mengetahui butiran undang-undang yang digunakan pihak berkuasa dan bukannya hanya diberitahu mengenai seksyen kesalahan.

“Semuanya mengenai integriti, sekiranya pihak berkuasa itu bersungguh untuk mengeluarkan saman, mereka juga pada masa sama mesti bersungguh untuk mendidik orang awam mengenai undang-undang kecil dan menjadikan ia dilihat,” katanya kepada FMT.

Pada Ahad lalu, pegawai penguatkuasa MPKB mengeluarkan kompaun terhadap seorang pemilik perniagaan wanita berusia 35 tahun dalam satu pemeriksaan di kedainya.

Presiden MPKB Rosnazli Amin dilaporkan berkata wanita itu melakukan kesalahan mengikut Seksyen 34(2)(b) Undang-undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian 2019, yang menyatakan pemilik perniagaan bukan Islam dan pekerja mereka mesti memakai pakaian yang sopan.

Menurut notis kompaun itu, di mana gambarnya tular di media sosial, wanita itu diberi tempoh tujuh hari untuk menyelesaikan kompaun atau berdepan tindakan undang-undang.

Pemeriksaan FMT di laman sesawang MPKB tidak menemui Undang-undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian 2019 dipaparkan untuk orang awam lihat atau baca. FMT cuba menghubungi MPKB untuk mendapatkan komen.

Pengarah Lawyers for Liberty, Zaid Malek, berkata pengunaan Seksyen 34(2)(b) oleh MPKB adalah “usaha pintu belakang untuk menguatkuasakan moral Islam kepada bukan Muslim.”

Katanya, walaupun undang-undang kecil itu memasukkan definisi “pakaian sopan” tetapi ia masih subjektif dan terbuka untuk interpretasi.

Zaid berkata di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976, PBT diberi kuasa untuk melaksanakan undang-undang kecil yang diperlukan untuk menjaga kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan penduduk. Bagaimanapun, mengawal pakaian tidak termasuk dalam bidang kuasa mereka, tambahnya.

Peguam, Arik Zakri Abdul Kadir, berkata adalah penting bagi kerajaan tempatan untuk menyampaikan mesej yang jelas dan konsisten kepada orang awam mengenai undang-undang kecil dan batasannya kerana masyarakat mungkin tidak tahu apa yang dibenarkan.

“Rakyat membawa bersama mereka moral awam dan akal fikiran, bukannya buku undang-undang.

“Apa yang dianggap biasa di satu tempat mungkin tidak sama di tempat lain. Ini adalah Kota Bharu yang kita bicarakan, bukan Bangsar atau Mont Kiara, di mana pakaian di premis perniagaan mungkin tidak dikuatkuasakan dengan cara yang sama,” katanya.

Pada awal minggu ini, Menteri Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming menggesa MPKB menarik balik notis kompaun yang dikeluarkan kepada wanita itu.

Menurut China Press, Nga berkata, adalah menjadi hak wanita itu memakai seluar pendek kerana dia bukan orang Islam, dan menambah hak kebebasannya dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.