
Undang-undang sedemikian diperlukan, katanya, untuk menegakkan hak kedaulatan negara dan persempadanan negara, lapor New Straits Times.
Azalina berkata, undang-undang baharu itu akan dibentangkan untuk diluluskan oleh Parlimen pada Oktober.
Langkah kerajaan itu susulan tuntutan undang-undang yang dibuat bagi pihak kumpulan yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu dalam pertikaian mengenai pembayaran untuk menyerahkan kedaulatan ke atas Sabah.
Azalina berkata, prosedur berbeza diperlukan dalam keadaan Malaysia berdepan tuntutan undang-undang daripada pihak lain.
“Mereka tidak boleh terus keluarkan saman terhadap kita begitu sahaja, tanpa kita sedari,” katanya.
Azalina merujuk kepada percubaan bailif Perancis, bertindak atas tuntutan pihak mendakwa waris Sulu, menceroboh kedutaan Malaysia di Paris dan rumah pegawai kedutaan untuk mendapatkan inventori premis itu.
Beliau menyifatkan pihak tersebut bertindak kurang ajar, kerana premis diplomatik mempunyai imuniti undang-undang.
Pada Selasa, Mahkamah Rayuan Hague menolak permohonan lapan individu, yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu, untuk menguatkuasakan anugerah timbang tara USD15 bilion terhadap kerajaan Malaysia.
Awal bulan ini, Mahkamah Rayuan Paris membatalkan keputusan penganugerahan USD15 bilion yang dikeluarkan penimbang tara Sepanyol Gonzalo Stampa.
Azalina sebelum ini berkata, Putrajaya akan memulakan tindakan undang-undang menentang “anugerah palsu” yang dituntut oleh pihak yang mendakwa waris Sulu itu.