Remaja maut motosikal langgar penghadang besi jalan

Remaja maut motosikal langgar penghadang besi jalan

Mangsa berusia 13 tahun itu maut di tempat kejadian, manakala sepupunya yang menaiki motosikal bersamanya cedera parah.

Seorang remaja berusia 13 tahun maut setelah terpelanting daripada motosikal ditungganginya yang melanggar penghadang besi jalan dalam kejadian di Labuan pagi tadi. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Seorang remaja berusia 13 tahun maut, manakala sepupunya parah, setelah motosikal dinaiki mereka terbabas kemudian merempuh penghadang besi dalam kejadian di Labuan pagi tadi.

Dalam kejadian pada 10.20 pagi di Jalan Bukit Besar berhampiran Simpang Bidara 57 itu, Muhamad Ansyahdinullah Sabarudin, yang menunggang motosikal jenis Honda ADV, disahkan maut di tempat kejadian.

Menurut polis, mangsa menunggang motosikal bersama sepupunya dari arah Bulatan Taman Mutiara menuju ke arah Kampung Sungai Lada, sebelum dipercayai hilang kawalan lalu melanggar penghadang besi.

“Akibat kejadian, mangsa terpelanting dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” kata Ketua Polis Labuan Ahmad Jawila, lapor Berita Harian.

Sepupu mangsa, seorang remaja lelaki berusia 15 tahun, dilaporkan mengalami kecederaan di lutut kiri dan kini dirawat di Hospital Labuan.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Labuan dan diserahkan ke Unit Forensik untuk proses bedah siasat, kata Ahmad Jawila.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.