Pihak luar, NGO digalak taja pengajian banduan

Pihak luar, NGO digalak taja pengajian banduan

Pengarah Penjara Kajang, Roslen Ramli berkata, ramai banduan berhasrat menyambung pengajian mereka, namun menghadapi masalah kewangan untuk membayar yuran.

Setakat ini, lebih 10 banduan di Penjara Kajang sedang melanjutkan pelajaran sepenuh masa dalam pelbagai peringkat, dengan seorang daripadanya di peringkat PhD. (Gambar Twitter)
KAJANG:
Pihak luar sama ada individu atau kumpulan dan badan bukan kerajaan (NGO) digalak memberi tajaan atau sumbangan dana bagi membiayai pengajian banduan menyambung pelajaran mereka di peringkat diploma atau peringkat lebih tinggi.

Pengarah Penjara Kajang, Roslen Ramli berkata, ramai banduan berhasrat menyambung pengajian mereka, namun menghadapi masalah kewangan untuk membayar yuran.

“Mereka nak sambung belajar tetapi tiada wang. Jadi, dengan memperoleh tajaan atau sumbangan pihak luar, mereka boleh bayar yuran pengajian,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata, dengan taraf pendidikan lebih baik, banduan yang akan dibebaskan nanti berpeluang cerah mempunyai kerjaya, selain kemahiran dipelajari ketika rawatan dan pemulihan dalam penjara.

“Mereka (banduan) juga mempunyai masa depan apabila dibebaskan kelak. Apabila ada kelulusan pendidikan peringkat lebih tinggi, ada kemungkinan menarik majikan untuk mengambil mereka bekerja.

“Dengan tahap pendidikan lebih baik, ia bukan tiket menjamin bekas banduan mendapat pekerjaan, namun ia penambahbaikan untuk majikan meneliti dan mengambil mereka bekerja.”

Justeru, katanya, Jabatan Penjara mengalu-alukan mana-mana pihak memberi tajaan atau sumbangan dana untuk penghuni penjara mendapat taraf pendidikan lebih tinggi dan pelbagai pilihan pekerjaan apabila dibebaskan.

Beliau berkata, lebih 10 banduan di Penjara Kajang sedang melanjutkan pelajaran sepenuh masa dalam pelbagai peringkat, dengan seorang daripadanya di peringkat ijazah doktor falsafah (PhD) setakat ini.

Banduan dikenali sebagai Zubir (bukan nama sebenar) berkata, dia tiada wang simpanan atau sebarang sumber kewangan untuk melanjutkan pengajian, melainkan dengan sumbangan atau tajaan pihak luar.

“Saya sedang melanjutkan pelajaran di peringkat PhD dalam bidang pentadbiran perniagaan. Selama ini, yuran pengajian saya dibayar NGO dan orang perseorangan bermula peringkat sarjana muda.

“Kami tiada wang untuk membayar yuran pengajian. Oleh itu, sumbangan pihak luar sangat kami harapkan untuk menyambung pelajaran agar peluang mendapat pekerjaan selepas keluar penjara lebih cerah.”

Dalam pada itu, Roslen berkata, ada bekas banduan yang mendapat pekerjaan selepas dibebaskan menggunakan sijil diperolehi semasa menjalani hukuman penjara.

“Banduan perlu diberi peluang sama seperti orang lain. Mereka perlu diberi peluang untuk hidup di luar dengan lebih baik.

“Jika ada individu, syarikat mahupun NGO yang berminat (memberi tajaan), boleh datang ke Penjara Kajang sendiri atau berurusan dengan Ibu Pejabat Jabatan Penjara di Bahagian Pengurusan Banduan atau Bahagian Dasar untuk berbincang menjayakannya.”

Sementara itu, Naib Canselor Open University Malaysia (OUM), Prof Ahmad Izanee Awang berkata, tiada biasiswa ditawarkan kepada penghuni penjara ketika ini dan yuran pengajian ditanggung sepenuhnya ahli keluarga.

“Ada sesetengah daripada mereka mengeluarkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan ada juga mendapat tajaan beberapa NGO. Jika mereka merupakan alumni OUM atau warga emas, mereka layak ditawarkan potongan atau diskaun yuran pengajian.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.