Pelitup muka tak wajib di hospital, pengangkutan awam mulai 5 Julai

Pelitup muka tak wajib di hospital, pengangkutan awam mulai 5 Julai

Ini sebahagian kelonggaran SOP Covid-19 yang diumumkan Kementerian Kesihatan.

Individu berisiko tinggi amat digalakkan memakai pelitup muka ketika menaiki pengangkutan awam, di tempat sesak dan pengudaraan kurang baik.
PETALING JAYA:
Pemakaian pelitup muka tidak lagi wajib di hospital dan pengangkutan awam mulai 5 Julai ini, umum Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.

Tetapi, ia kekal wajib bagi pesakit positif Covid-19 dan petugas kesihatan susulan prosedur kawalan jangkitan ketika berurusan dengan pesakit.

Individu berisiko tinggi seperti warga emas, individu berimuniti rendah, bergejala respiratori dan ibu mengandung amat digalakkan memakai pelitup muka di tempat sesak, pengudaraan kurang baik serta semasa menaiki pengangkutan awam.

Ini sebahagian kelonggaran SOP Covid-19 yang diumumkan hari ini.

Zaliha berkata, tempoh kuarantin pesakit Covid-19 turut dipendekkan daripada tujuh hari ke lima hari sejak gejala pertama muncul, mulai 5 Julai ini.

Katanya, pengisytiharan status kawasan tempatan jangkitan di Malaysia yang akan tamat esok dilanjutkan enam bulan sehingga 31 Dis ini, walaupun situasi semasa Covid-19 tidak lagi membimbangkan.

Beliau berkata, lanjutan itu perlu kerana terdapat risiko kemunculan varian dan subvarian baharu Covid-19 di Malaysia.

“Selain itu, perhimpunan ramai yang dijangka berlaku semasa sambutan Hari Raya Aidiladha dan juga PRN mungkin berisiko menyumbang kepada peningkatan kes serta membebankan sistem perkhidmatan kesihatan, jika langkah kawalan dan pencegahan tidak dilaksanakan sepenuhnya.

“Kementerian Kesihatan akan terus memantau situasi Covid-19 dan juga varian dilaporkan untuk mengambil tindakan segera dan wajar apabila diperlukan,” katanya dalam kenyataan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.