
Majistret Analia Kamaruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh Goh Chiaw Hoe, 36, seorang penganggur, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah sewaktu sebutan kes hari ini.
Mahkamah memerintahkan bapa lima anak itu menjalani hukuman penjara hari ini dan mengarahkan dia dipenjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda.
Goh didakwa menyebabkan kecederaan ke atas seorang kanak-kanak, yang berusia tujuh tahun ketika kejadian, di Taman Beting di sini pada 6 petang, 7 Ogos tahun lepas.
Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, dibacakan bersama Seksyen 326A kanun sama, yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau dengan denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, pada 12.30 tengah hari, 8 Ogos 2022, seorang pegawai perubatan telah menerima seorang pesakit yang dibawa oleh gurunya kerana terdapat kecederaan di tangan kiri dan kaki kiri akibat dirotan oleh bapanya.
Pegawai perubatan itu kemudian membuat laporan di Balai Polis Muar, menyatakan mangsa dipukul.
Mangsa dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini dan bapa kanak-kanak itu ditangkap untuk siasatan lanjut pada 10 malam, 9 Ogos 2022.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nabihah Mohd Noor manakala peguam Tay Chee Fu mewakili tertuduh.